Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman
Keratan Akhbar

18 Januari 2018

04-01-2018 : Teliti prosiding mahkamah syariah dipapar kepada umum - Sultan Perak


beritaBH

IPOH: Mahkamah Syariah perlu meneliti dan memperhalusi tahap pendedahan prosiding kes syariah yang boleh dipaparkan kepada umum supaya tidak bertentangan dengan semangat dianjurkan Islam yang melarang manusia diaibkan di khalayak ramai.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, aspek menjaga maruah dan tidak mengaibkan nama insan amat ditegaskan dalam Islam, malah menjaga maruah, aib dan nama seseorang menjadi sebahagian komponen keadilan.

 

"Perbuatan mensensasikan prosiding perbicaraan di Mahkamah Syariah secara terbuka, perlu diteliti dan diperhalusi kesesuaiannya.

 

"Prosiding yang berlangsung di Mahkamah Syariah terutama berkaitan isu keluarga dan peribadi perlu memastikan nama baik anggota keluarga, ibu bapa dan anak terjamin dilindungi daripada disensasikan," titah baginda.

 

Baginda bertitah demikian pada majlis penganugerahan watikah lantikan kepada 22 Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi sesi 2018-2020, sembilan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan 10 Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di sini, hari ini.

 

Pada majlis itu baginda turut berkenan menerima cek zakat perniagaan keseluruhan berjumlah RM2,687,420.96 yang diserahkan empat pihak iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Edgenta Mediserve Sdn Bhd, RISDA dan GITN Sdn Bhd.

 

Baginda turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Usahasama Pembangunan Dana Wakaf MAIPk antara MAIPk dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).

 

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

 

Sultan Nazrin bertitah, nilai murni yang mengutamakan hikmah, bijaksana, sopan dan tertib dianjurkan Islam juga perlu sentiasa dicerminkan dalam tindak tanduk dilakukan atas nama Islam.

 

Titah baginda, budaya kerja pegawai dan penguat kuasa agama perlu berpaksikan kepada nilai murni itu dan Islam mesti diuruskan dengan penuh hikmah, bijaksana serta penuh sopan dan tertib bagi memelihara nama baik Islam tidak dicemari dan agama itu sentiasa dihormati.

 

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah, Jawatankuasa Fatwa perlu mempunyai dimensi minda yang berupaya membaca senario dan memahami tuntutan semasa bagi menyediakan ruang selesa kepada generasi muda berinteraksi mendapatkan penerangan lanjut mengenai latar belakang, asas serta rasional supaya sesuatu fatwa dikeluarkan dapat difahami, dihormati dan dipatuhi.

 

Baginda bertitah, generasi muda kini dibekalkan kemudahan mendapatkan pelbagai sumber ilmu dan bahan rujukan termasuk melalui kemudahan teknologi untuk dijadikan perbandingan.

 

"Generasi muda kini, tidak mudah memamah atau menghadam sesuatu perkara dilontarkan kepada mereka. Mereka memiliki daya untuk menyelidik, memiliki keberanian untuk menyoal dan kesediaan berhujah.

 

"Keadaan ini memerlukan pendekatan penerangan lebih lengkap lagi meyakinkan, sebelum anak muda bersedia menerima sesuatu arahan, pandangan, ketetapan dan peraturan. Keadaan ini semestinya menghamparkan cabaran baharu yang memerlukan pendekatan baharu," titah baginda.

Sumber Rujukan:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/370850/teliti-prosiding-mahkamah-syariah-dipapar-kepada-umum-sultan-perak

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak
  • Jalan Tan Sri Haji Harussani,
    30100 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

  • 05-5018400
  • 05-5018522
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak. Kemaskini : 24/04/24 • Jumlah Pelawat : 21286928