Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman
Soalan Lazim
Saya baharu sahaja di maklumkan dan mendapat tahu suami telah berkahwin lain. Apakah yang harus saya lakukan?

Sekiranya pernikahan poligami tersebut disahkan oleh mahkamah, puan boleh memohon perintah nafkah diri puan, nafkah anak, harta sepencarian, hutang dalam perkahwinan, tunggakkan nafkah isteri dan anak serta hak tempat tinggal.

Pernikahan secara wali hakim, bagaimana keadaan yang boleh dipohon di mahkamah?

Mereka yang boleh memohon ialah di antaranya :

  1. Saudara baru (muallaf) yang tidak mempunyai wali nasab yang beragama islam.
  2. Wali ghaib
  3. Wali enggan
  4. Anak tak sah taraf
  5. Wali dalam ihram
Bekas suami enggan mematuhi perintah Mahkamah. Apakah tindakan yang perlu saya lakukan?
  1. Memfailkan saman penghutang penghakiman; atau
  2. Jika ingkar, memohon penguatkuasaan perintah; atau
  3. Jika masih ingkar, maka boleh memohon pelaksanaan perintah sama ada melalui pengkomitan ke penjara, penyitaan dan penjualan serta hiwalah (garnishment);
  4. Selain itu, anda boleh membuat pengaduan di bahagian penguatkuasaan JAIPk untuk tindakan;
  5. Rujuk kepada Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Perak (berkaitan nafkah).
Bilakah kes saya akan disebut di mahkamah, setelah kes saya telah di daftarkan?

Setelah kes tersebut didaftar, kebiasaannya Mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh 18 hari selepas pendaftaran, namun tertakluk kepada jumlah kes-kes yang ditetapkan di hadapan Hakim.

Tolong jelaskan, apakah hak yang boleh dituntut saya selepas perceraian? 

(sekiranya masih hidup) Anda boleh membuat tuntutan nafkah anak, nafkah eddah, harta sepencarian, hak penjagaan anak (hadhanah), sagu hati perkahwinan (muta’ah), hak tempat tinggal semasa dalam eddah, hutang dalam perkahwinan, tunggakan nafkah isteri dan anak. Namun sekiranya pihak Defendan meninggal dunia (bercerai mati), anda boleh membuat tuntutan harta sepencarian , pembahagian harta pusaka (secara faraid) dan hutang dalam perkahwinan.

Istilah  ‘gantung tak bertali’, adakah istilah ini wujud  pada pandangan Fikh Islami?

Tiada. Anda boleh memohon cerai secara fasakh, pengesahan takliq, tebus talaq atau dengan kuasa hakam (perundingan) yang diperintahkan oleh mahkama

Saya kurang faham berkenaan Cerai Ta'liq?

Ta'liq ertinya perjanjian yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri. Cerai Ta'liq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas Ta'liq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.

Apakah itu Tebus Talaq (Khulu')?

Perceraian Tebus Talaq ialah satu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan wang atau harta benda sepertimana yang dipersetujui melalui ijab dan qabul. Cerai Khulu' adalah merupakan cerai Bain Sughra dan tidak boleh dirujuk melainkan dengan akad dan mas kahwin yang baru.

Mohon Penjelasan berkenaan dengan Fasakh?

Fasakh ialah pembubaran perkahwinan disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan fasakh ialah apabila suami atau isteri :

  • Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu (1) tahun.
  • Tidak mengadakan peruntukkan nafkah isteri selama tempoh tiga (3) bulan.
  • Telah dihukum penjara selama tempoh tiga (3) tahun atau lebih.
  • Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu (1) tahun.
  • Telah mati pucuk.
  • Telah gila selama tempoh dua (2) tahun.
  • Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
  • Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isterinya menderita.
  • Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
  • Memaksa isteri hidup secara lucah.
  • Melupuskan harta isteri.
  • Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
  • Tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
  • Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun empat (4) bulan telah berkahwin.
  • Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.
Bagaimana pengiraan eddah di laksanakan selepas perceraian?

Pengiraan eddah berbeza berdasarkan keadaan seperti berikut :

  1. Sekiranya isteri diceraikan tanpa setubuhi, maka tiada eddah baginya
  2. Sekiranya isteri diceraikan dalam keadaan haid maka eddah sehingga suci daripada haid keempat
  3. Sekiranya isteri diceraikan dalam keadaan yang bersih tanpa disetubuhi selepas haidnya maka eddah dikira
Saya telah diceraikan oleh suami setahun yang lalu. Saya merupakan ibu tunggal kepada 4 orang anak. Saya menghadapi masalah berkaitan pemberian nafkah oleh suami kepada anak-anak sedangkan telah ada perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah. Jadi di manakah saya boleh mengadu dan merujuk masalah saya ini?

Dalam perkara ini apabila puan telah memperolehi perintah dari mahkamah syariah tentang pemberiaan nafkah dan bekas suami puan dengan sengaja cuai ataupun ingkar untuk melaksanakan perintah tersebut maka puan bolehlah merujuk masalah puan ini di mahkamah syariah berhampiran.

Di mahkamah syariah terdapat satu unit yang dipanggil Bahagian Sokongan Kelurga (BSK) khususnya membantu mereka-mereka yang berhadapan dengan masalah pelaksanaan nafkah.

Di antara fungsi-fungsi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) ialah :

  1. Meleraikan Konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.
  2. Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.
  3. Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.
  4. Meyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.
  5. Membetul salah faham terhadap kelewatan membabitkan masalah mematuhi perintah mahkamah seperti pembayaran nafkah dan hak penjagaan anak.
Saya telah kehilangan bapa 2 bulan yang lalu. Bapa saya ada meninggalkan sedikit harta. Apakah  yang perlu saya lakukan ke atas harta yang ditinggalkan?

Anda hendaklah memohon perintah faraid  di Mahkamah Rendah Syariah jika nilai harta tidak melebihi RM 100,000.00 manakala jika harta melebihi RM 100,000.00 hendaklah memohon perintah faraid terhadap harta tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah

Saya kurang faham, apakah yang dimaksudkan dengan Hibbah?

Hibbah ialah pemberian harta/aset kepada seseorang secara sukarela semasa hayatnya tanpa berkehendak balasan (iwad). Pemberi hibbah tidak boleh menarik balik hibahnya setelah setiap rukun hibbah dipenuhi iaitu : pemberi hibbah (al-wahib), penerima hibbah (al-mauhub laku). Barang  dihibahkan  (al-manhub) lafaz ijab kabul, menurut mazhab syafie akad nikah tidak sempurna kecuali selepas qabul.

Qabul berbeza-beza mengikut harta / aset. Sekiranya harta alih. Maka qabul berlaku dengan mengambil, memindah, mengasingkan harta tersebut dengan harta lain. Bagi harta tidak alih boleh berlaku dengan mengosongkan harta, menguasainya dan melakukan tasaruf terhadap harta tersebut seperti menyerahkan kunci dan seumpamanya.

Apakah perbezaan di antara wasiat, hibah dan faraid?

Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris.

Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan. Menurut istilah syarak pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah atau layak (seperti anak, suami, isteri, ibu, bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada berbentuk agama (seperti zakat, nazar dan lain-lain) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’ (hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan

Hibbah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberiaan hak milik oleh pemberi harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak
  • Jalan Tan Sri Haji Harussani,
    30100 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

  • 05-5018400
  • 05-5018522
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak. Kemaskini : 18/03/24 • Jumlah Pelawat : 21286928