Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman
Pengenalan

Sejarah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak

Mahkamah Syariah Era Kesultanan Melayu

Di zaman Kesultanan Melayu, keadilan telah di laksanakan di Mahkamah Syariah dengan di adakan Rayuan Sultan. Keadaan ini kekal sebelum kedatangan kuasa-kuasa penjajah. Undang-undang Islam telah dilaksanakan di dalam semua bidang yang meliputi Undang-undang Keluarga, Jenayah, Undang-undang Tanah dan Mal.

Bermula daripada Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 hinggalah kepada penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, suatu ketetapan telah disepakati secara bersama bahawa segala perkara berhubung Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu hendaklah berada di bawah bidangkuasa Raja Melayu. Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan yang telah diamalkan sehingga ke tahun 1900 tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh permulaan kuatkuasa undang-undang tersebut.

Adalah dipercayai bahawa undang-undang itu telah mula dilaksanakan semenjak pemerintahan al-Marhum Sultan Idris Murshidul A’azam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar iaitu pada tahun 1887 hingga 1916. Undang-undang Perak atau juga dikenali sebagai Undang-undang 99 Perak kerana mengandungi 99 perkara undang-undang dalam pelbagai aspek.

Antara perkara yang terkandung dalam Undang-undang 99 Perak ialah :

  • Tugas serta tanggungjawab pemerintah : merangkumi peranan seorang Raja atau Sultan atau Yang Di-Pertuan Agong dalam sektor pemerintahan serta para-para pembesar yang menjadi tulang belakang dalam tampuk pemerintahan.
  • Peraturan Adat Istiadat : sebagai contoh Adat menghadap Raja, Adat perlantikan Raja, Adat Berbahasa semasa berada dalam istana dan sebagainya.
  • Perkara-perkara yang berkaitan dengan jenayah : contohnya; mencedera, membunuh, mencuri dan sebagainya.
  • Perkara-perkara yang berkaitan dengan hal kekeluargaan : contohnya; perkahwinan, penceraian, pemahagian harta dan sebagainya.

Profil Jabatan

Mengikut peruntukan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam(Perak) 1992,[Enakmen Perak Jil. 46,Bil 4 Tahun 1993], Mahkamah Syariah di dalam negeri ini diwujudkan dalam tiga peringkat,iaitu;

  1. Mahkamah Rayuan Syariah
  2. Mahkamah-mahkamah Tinggi Syariah
  3. Mahkamah Rendah Syariah Daerah-daerah

Ketiga-tiga peringkat Mahkamah Syariah yang tersebut itu, diwujudkan melalui sebuah jabatan yang dikenali dengan nama Jabatan Kehakiman Syariah Perak.

Bidang Kuasa Mahkamah

Setiap hirarki Mahkamah Syariah Negeri Perak mempunyai bidangkuasa sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh Undang-undang seperti berikut:

MAHKAMAH UTAMA SYARIAH

  • Berdasarkan seksyen 29(1) Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018, Mahkamah Utama Syariah berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan Mahkamah Rayuan Syariah dalam bidang kuasa rayuannya berkenaan apa-apa perkara yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa asalnya.
  • Seksyen 30(1) Mahkamah Utama Syariah berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan kebenaran merayu apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam penjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Rayuan Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.

 MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH

  • Berdasarkan seksyen 22(1) Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018, Mahkamah Rayuan Syariah berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa asal atau bidang kuasa rayuannya
  • Seksyen 23(1) Mahkamah Rayuan Syariah berbidangkuasa untuk memberikan kebenaran merayu terhadap apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam penjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.
  • Seksyen 24(1) memperuntukkan bidangkuasa Mahkamah Rayuan Syariah kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, jika didapati perlu olehnya demi kepentingan keadilan, sama ada atas usulnya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah.

 MAHKAMAH TINGGI SYARIAH

  • Berdasarkan seksyen 17(1) Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018,Bidangkuasa asal Mahkamah Tinggi Syariah adalah sebagaimana berikut:
  • (a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 [Enakmen Bil. 6 tahun 2004] atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap perintah-perintah agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu;
  • (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubung dengan—
  • (i) pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh), nusyuz,pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dan isteri;
  • (ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (b)(i);
  • (iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan atau penjagaan atau jagaan (hadanah) kanak-kanak;
  • (iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
  • (v) wasiat atau hibah semasa marad-al-maut;
  • (vi) hibah atau pemberian atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seorang orang Islam;
  • (vii) wakaf atau nazar;
  • (viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;
  • (ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
  • (x) amanah khairat dan agama dan amanah bukan khairat;
  • (xi) Zakat, Fitrah dan sumber am Baitulmal;
  • (xii) masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam;
  • (xiii) penjaga harta bagi kanak-kanak;
  • (xiv) perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
  • (xv) perisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan
  • (xvi) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan atau mana-mana undang-undang bertulis; dan
  • seksyen 17(1)(c), memperuntukkan kuasa Mahkamah Tinggi Syariah untuk memberi kebenaran dan mendengar permohonan semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh pihak-pihak berkuasa awam yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang yang Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa demi kepentingan keadilan.
  • Seksyen 18(1), Mahkamah Tinggi Syariah berbidangkuasa untuk mendengar rayuan daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah—

       (a) dalam bidang kuasa jenayahnya, oleh pendakwa atau oleh orang yang telah disabitkan, dan rayuan itu boleh sama ada terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana daripadanya;
       (b) dalam bidang kuasa malnya—
       (i) oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada tiga ribu ringgit;
      (ii) dalam semua kes yang melibatkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu; dan
     (iii) dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, tetapi tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan;

  • Seksyen 18(1)(c) Mahkamah Tinggi Syariah berbidangkuasa terhadap permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu dalam apa-apa kes lain.
  • Seksyen 20(1), Mahkamah Tinggi Syariah berbidangkuasa untuk mendengar kes Perakuan pewarisan jika dalam penjalanan mana-mana prosiding yang berhubungan dengan pentadbiran atau pembahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam, mana-mana mahkamah atau pihak berkuasa, selain Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah, mempunyai kewajipan untuk menentukan—
  • (a) orang yang berhak mendapat bahagian dalam harta pusaka itu; atau
  • (b) bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak.

      memperakukan fakta-fakta yang didapati oleh Mahkamah Syariah itu dan pendapatnya tentang orang yang berhak kepada bahagian dalam harta pusaka itu dan tentang bahagian-bahagian yang padanya masing-masing orang itu berhak.

  • Seksyen 21(1) Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika didapati perlu demi kepentingan keadilan, sama ada atas usulnya sendiri atau atas kehendak manamana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.                                                       

MAHKAMAH RENDAH SYARIAH

  • Berdasarkan seksyen 16(1) Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018 Mahkamah Rendah Syariah mempunyai Bidang kuasa :
  • (a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 [Enakmen Bil. 6 tahun 2004] atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap perintah-perintah agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis lain itu tidak melebihi tiga ribu ringgit atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan
  • (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang tetapi tidak termasuk tuntutan hadanah, hibah, wasiat, wakaf, nazar, amanah khairat dan agama dan amanah bukan khairat, penjagaan harta kanak-kanak atau harta sepencarian.
Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak
  • Jalan Tan Sri Haji Harussani,
    30100 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

  • 05-5018400
  • 05-5018522
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak. Kemaskini : 18/03/24 • Jumlah Pelawat : 21286928