Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman
Keratan Akhbar

12 Ogos 2015

Maipk rancang satu daerah satu pusat dialisis


IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) sedang merancang untuk mewujudkan pusat dialisis di setiap daerah di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Amiruddin Muhamed berkata, pembinaannya akan menggunakan sepenuhnya wang hasil wakaf tunai.

Menurutnya, dalam tahun ini sebuah pusat dialisis akan dibina di Teluk Intan dengan kos RM2 juta di tanah milik Maipk berdekatan dengan Hospital Teluk Intan.

“Kita melihat ada keperluan untuk mewujudkan sendiri pusat dialisis berbanding menanggung pesakit menerima rawatan di pusat dialisis yang disediakan pihak swasta untuk menjimatkan kos selain membolehkan lebih ramai pesakit buah pinggang menerima rawatan.

“Kita sudah ada kepakaran dan bila kita buat perkiraan, kos rawatan sebenar jauh lebih murah dari perkhidmatan yang disediakan di luar. Jadi saya fikir dengan sumbangan wakaf tunai yang diterima, kita sendiri bina pusat dialisis ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Amiruddin berkata, ketika ini, kos bagi satu sesi rawatan di pusat dialisis swasta sekitar RM180 hingga RM200 manakala kos sebenar hanya melibatkan RM130 hingga RM150 bagi satu sesi rawatan.

Beliau berkata, seramai kira-kira 700 pesakit yang dibantu dan setakat ini hanya ada satu pusat dialisis milik Maipk di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan, di sini, dengan pesakit dalam satu-satu masa seramai 20 orang.

Menurut beliau, mengikut perancangan asal, pusat dialisis kedua sepatutnya dibina di Taiping tetapi berlaku sedikit masalah dan dipindahkan projek pembinaannya itu ke Teluk Intan.

Katanya, pusat dialisis di Teluk Intan itu dijangka akan mula beroperasi pada tahun hadapan manakala perancangan seterusnya, sebuah lagi pusat dialisis akan dibina di Daerah Manjung.

“Pembinaan ini bergantung pada peruntukan dan jumlah wang wakaf yang diterima. Jika lebih ramai yang berwakaf, lebih cepatlah kita bina pusat dialisis ini.

“Alhamdulillah, selain wakaf, pihak kami juga melihat berlaku peningkatan terhadap pembayaran zakat harta apabila jumlah itu meningkat sehingga RM11 juta pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang ingin berwakaf dengan Maipk boleh berbuat demikian di pejabat Maipk, Kompleks Islam Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini.
Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak
  • Jalan Tan Sri Haji Harussani,
    30100 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

  • 05-5018400
  • 05-5018522
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak. Kemaskini : 24/04/24 • Jumlah Pelawat : 21286928