Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman
Keratan Akhbar

06 Disember 2018

05-12-2018 : DUN Perak Lulus Usul Wujudkan Mahkamah Utama Syariah




IPOH: Perak menjadi negeri pertama yang mempunyai empat lapisan mahkamah syariah selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan usul bagi mewujudkan Mahkamah Utama Syariah.

Ia bakal berfungsi sebagai mahkamah rayuan kedua selepas proses rayuan pertama dibuat di Mahkamah Rayuan Syariah.

Timbalan Speaker DUN Perak, Aminuddin Zulkipli mengumumkan kelulusan Rang Undang-undang berkenaan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2008 (Pindaan 2018) selepas ianya disokong sebulat suara anggota DUN.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi, ketika membentangkan usul tersebut berkata, penubuhan Mahkamah Utama Syariah itu bertujuan antaranya untuk memperkasa struktur, urusan pentadbiran dan kredibiliti institusi kehakiman syariah di Perak.

“Ketika ini Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 hanya memperuntukkan tiga lapisan mahkamah dalam sistem kehakiman syariah di negeri ini iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Oleh itu, adalah dicadangkan pindaan dibuat kepada seksyen 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dengan memperuntukkan penubuhan satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan Syariah yang dikenali sebagai Mahkamah Utama Syariah,” katanya.

Tambah Asmuni (Pakatan Harapan – Manjoi), dengan kewujudan lapisan mahkamah yang baharu itu, ia bakal memberi jaminan keadilan yang tertinggi bagi semua kes yang bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.

Semasa sesi perbahasan terhadap usul tersebut berlangsung, Datuk Saarani Mohamad (Barisan Nasional – Kota Tampan) menyokong penuh perkara tersebut selain berharap ia mampu meningkatkan imej Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Sivil dalam kalangan masyarakat.

Selain bangunan baharu, Saarani yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak berharap agar pegawai dan peguam yang akan ditugaskan ke Mahkamah Rayuan Syariah adalah individu yang benar-benar layak dari faktor pendidikan dan sahsiah.

Sementara itu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bebas – Tualang Sekah) berkata, usaha tersebut dilihat mampu memberi keadilan kepada kes-kes yang melibatkan para wanita.

“Kes-kes penganiayaan melibatkan wanita yang bergelar isteri cukup banyak dan saya yakin usaha ini akan memberikan keadilan sekiranya mereka diberi peluang untuk merayu kali kedua, khususnya melibatkan kes poligami,” ujarnya.

Usul tersebut dibuat selepas mengambil kira titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semasa perasmian DUN Perak pada 6 Ogos lalu di mana Baginda bertitah bahawa satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan di dalam sistem Mahkamah Syariah di Perak.

Dalam sidang DUN sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengusulkan penangguhan persidangan dewan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak dan ianya dipersetujui.

 

Rujukan: https://peraktoday.com.my/2018/12/dun-perak-lulus-usul-wujudkan-mahkamah-utama-syariah/

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak
  • Jalan Tan Sri Haji Harussani,
    30100 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

  • 05-5018400
  • 05-5018522
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak. Kemaskini : 24/04/24 • Jumlah Pelawat : 21286928