Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman
Keratan Akhbar

06 Disember 2018

05-12-2018 : Perak lulus penubuhan Mahkamah Utama Syariah (SINAR HARIAN)


Pengarang: SAIFULLAH AHMAD & MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID

5 DISEMBER 2018

IPOH - Perak mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama menubuhkan Mahkamah Utama Syariah sekali gus mempunyai empat lapisan mahkamah dalam sistem kehakiman syariah.

Sistem berkenaan sebelum ini hanya mempunyai tiga komponen iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Perkara itu diluluskan ketika Sidang Dun Perak hari ini selepas Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi mengemukakan usul Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2018.
Asmuni (Amanah-Manjoi) berkata, penubuhan mahkamah itu bertujuan memperkasa struktur, urusan pentadbiran dan kredibiliti institusi kehakiman syariah di Perak.

“Cadangan pindaan ini mengambil kira titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak semasa Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dun Perak ke-14 pada 6 Ogos lalu bahawa satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan di dalam sistem Mahkamah Syariah di negeri ini.
“Pada ketika ini Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 hanya memperuntukkan tiga lapisan Mahkamah di dalam sistem kehakiman syariah di negeri ini iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Oleh itu, adalah dicadangkan pindaan dibuat kepada seksyen 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dengan memperuntukkan penubuhan satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan Syariah yang dikenali sebagai Mahkamah Utama Syariah,” katanya ketika membentangkan usul tersebut, hari ini.

Selepas usul dibentangkan, beberapa Adun kerajaan dan pembangkang mengambil tempat untuk berbahas antaranya Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang); Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan); Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (BN-Tualang Sekah) dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor).

Enakmen tersebut kemudian diluluskan Dun tanpa bantahan selain Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018.

Enakmen tersebut dibentangkan bertujuan untuk mengadakan peruntukan khusus berkenaan dengan penyusunan Mahkamah Syariah, bidang kuasanya, perjalanan kuasanya serta lapisan baharu peringkat rayuan Mahkamah Syariah.

Asmuni berkata, ia diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan fungsi kehakiman Syariah dapat dilaksanakan secara efisien dan berkesan seterusnya merealisasikan usaha memartabatkan kedudukannya sebagai institusi kehakiman berwibawa dalam negeri ini.
Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak
  • Jalan Tan Sri Haji Harussani,
    30100 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

  • 05-5018400
  • 05-5018522
  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak. Kemaskini : 24/04/24 • Jumlah Pelawat : 21286928