facebookinstagramblogtwitterRSS

Perutusan Ketua Pendaftar / CIO


Ketua Pendaftar
TUAN HJ. AB. RAHMAN THOBRONI BIN MOHD MANSOR
KETUA PENDAFTAR / CIO
JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH PERAK


Alhamdulillah selautan syukur di puncak nikmat iman dan Islam Tuhan Rabbul A'lamin yang menganugerahkan kesempatan kepada kita. Bertitik tolak dari keredhaan dan keberkatanNya kita masih lagi melayari bahtera kehidupan dengan segala nikmat yang dilimpahkan.
Dikesempatan ini saya mengucapkan tahniah kepada Unit ICT JKSPk yang bertungkus lumus menjayakan hasrat jabatan merekayasa kembali informasi jabatan sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat mutakhir.

Sehala dengan visi dan misi jabatan ini, marilah bersama sama kita realisasikannya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengetahuan kita supaya kita mampu membantu dan menjadi rujukan kepada masyarakat. Modal insan yang kita lahirkan dari jabatan ini mestilah berkompetensi dan mampu menatang hasrat jabatan memartabatkan perundangan syariah kearah lebih global, Sebagai penjawat awam khasnya di bidang perundangan, banyak yang perlu dipertimbangkan. Bukan dengan akal dan pemikiran sahaja, tetapi juga dengan hati dan perasaan. Kekadang logik itu menyakitkan. Kekadang emosi itu lepas dari kendali realiti dan kenyataan. Pohon hidayah Allah juga untuk membuat keputusan yang tepat dan tindakan yang paling bermanfaat.

Seseorang dikira sampai ke tahap ilmu yang sempurna apabila dia terus belajar. Rasa tidak berilmu ialah sifat utama orang berilmu. Semakin kita belajar, terasa semakin banyak perkara yang tidak kita ketahui. Inilah sifat sejati orang berilmu.Walau sebanyak mana pun ilmu yang telah digali oleh manusia, hakikatnya masih sekelumit dibandingkan dengan ilmu Allah yang melangit.

Justeru, sebanyak mana pun dan setinggi mana pun ilmu yang dimiliki seseorang, dia sewajarnya terus merendahkan diri kepada Allah. Di antara tanda orang yang merendah diri dengan Allah itu, dia juga akan merendah diri sesama manusia. Harapan saya cuma satu, semoga kita istiqamah di jalan mujahadah ini. Apapun terjadi, kita terus mendaki. Tidak kira berapa kali kita jatuh, namun kita pasti bangkit kembali. Di hati kita. kita akan terus berusaha untuk mendidik diri. Marilah kita bersama saling kuat menguatkan, doa mendoakan, ingat mengingatkan, dengan sifat kasih dan mengasihi.

Walau kita punya pendapat dan teori yang berbeda, tetapi kesatuan cita-cita dan rasa… membentuk satu talian yang sukar diberi nama tetapi sangat tinggi makna. Apa lagi kalau bukan kasih mengasihi kerana Allah. Semoga JKSPk terus maju jaya didalam menjana kehakiman syariah, pentadbiran, kewangan, pembangunan dan pengurusan teknologi maklumat yang lebih berkesan, efisien dan memberi manfaat kepada ummah.
Sekian, terima kasih.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
"SYARIAH ASAS KEADILAN"

 

Ketua Pendaftar / CIO,
Jabatan Kehakiman Syariah
Negeri Perak Darul Ridzuan.

Lihat Peranan dan Tanggungjawab CIO