Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengenaan pakaian sukan patuh syariah itu hanya digalakkan kepada pemain bola sepak beragama Islam manakala tiada paksaan kepada mereka yang bukan Islam.

 

Beliau memberitahu, pelaksanaan itu sebagai langkah permulaan kalangan atlet sukan bola sepak di Terengganu sebelum diperluaskan ke acara sukan lain di negeri ini.

"Bermula tahun depan pemain bola sepak kita di semua peringkat akan digalakkan mengenakan pakaian menutup aurat tak kira sama ada beraksi di gelanggang sendiri atau di tempat lawan," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan Muhammad Khalil Abdul Hadi (Pas-Batu Buruk) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 yang bermula hari ini di sini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut ketika ditemui pemberita selepas itu, Wan Sukairi (Pas-Wakaf Mempelam) berkata, pelaksanaan etika pakaian mengikut patuh syariah itu dibuat hasil perbincangan serta nasihat Mufti Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda yang menganggotai Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negeri.

Menurut beliau, pelaksanaan peraturan pematuhan syariah dalam berpakaian itu juga sejajar dengan dasar pentadbiran kerajaan Pas Terengganu yang meletakkan Islam sebagai landasannya.

Selain itu beliau menarik perhatian, pengenaan bentuk pakaian seumpama itu untuk atlet sukan di Terengganu termasuk acara bola sepak dilaksanakan secara berperingkat, bukan drastik.

"Buat masa ini kerajaan belum menetapkan sesuatu tempoh tertentu bagi menguatkuasakan peraturan berpekaian patuh syariah ini, ia sekadar menggalakkan saja sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya kelak," katanya. - UTUSAN ONLINE