facebookinstagramblog RSS

2 Julai 2018-Nikah kanak-kanak 11 tahun boleh didakwa

KOTA BHARU: Peraih getah berusia 41 tahun yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun tanpa kebenaran boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana melakukan kesalahan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.

 

Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Zaini Sulaiman, berkata lelaki itu boleh didakwa melakukan dua kesalahan iaitu berkahwin tanpa kebenaran mahkamah dan tidak mendapat kebenaran isteri untuk berpoligami.

 

"Lelaki terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 19 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 yang membawa hukuman denda RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap kesalahan.

 

"Oleh itu, kita minta lelaki itu dan kanak-kanak berusia 11 tahun tampil ke mahkamah untuk membuat pengesahan perkahwinan dalam masa terdekat

 

"Tindakan undang-undang hanya boleh diambil terhadap lelaki sahaja memandangkan kanak-kanak perempuan itu warga Thailand," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Balai Islam, Lundang, di sini, hari ini.

 

Menurutnya, perkahwinan dengan budak bawah umur juga perlu dilihat dalam pelbagai sudut sama ada dipaksa atau mempunyai alasan tertentu sebelum mahkamah pertimbangkan keputusan.

 

"Jika alasan berkahwin kerana miskin, kita tidak akan memberi kelulusan memandangkan usia kanak-kanak perempuan terlalu muda dan mudah untuk bercerai," katanya.

 

Mengulas lanjut berhubung cadangan pihak kerajaan yang menggesa perkahwinan peraih getah dengan kanak-kanak bawah umur itu dibubarkan, Zaini berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi enggan mengulas lanjut berhubung perkahwinan bawah umur itu kerana mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada keluarga mereka di Gua Musang, hari ini.

 

"Saya mahu berjumpa keluarga lelaki dan kanak-kanak itu mendapatkan kenyataan.

"Namun, dari segi hukum syarak perkahwinan itu sah. Jika dapatkan perkahwinan di Thailand, mereka perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa sana, bukannya kerajaan sini," katanya.

 

NSTP semalam melaporkan, perkahwinan antara seorang peraih getah berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun viral selepas isteri kedua memuat naik status di Facebook miliknya.

Perkahwinan itu mendapat perhatian kerana lelaki itu berkahwin buat kali ketiga dengan kanak-kanak di bawah umur.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/444095/nikah-kanak-kanak-11-tahun-boleh-didakwa