facebookinstagramblog RSS

02 Okt 2016: Pembantu Mufti Perak, bekas Mufti Wilayah Persekutuan terima anugerah(Berita Harian Online)


BAGAN SERAI: Pembantu Mufti Negeri, Muhamed Abdullah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri yang diadakan di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.

Selain itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Ar-Ridzuan atas sumbangan yang diberikan dalam membangunkan syiar Islam di negeri ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan kedua-dua anugerah berkenaan dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta pingat, plak dan sijil.

Muhamed yang kini menjawat sebagai Mudir dan Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pelajar Islam (PPI) dan  Pegawai Penerangan Agama/Mubaligh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), berkata beliau bersyukur dengan penghargaan kerajaan negeri itu. Beliau berkata, umat Islam hari ini perlu mempersiapkan diri dan mencapai tahap keilmuan yang tinggi bagi membolehkan mereka membina bangsa dan negara.

"Masyarakat hari ini khususnya orang Melayu yang ketinggalan dalam bidang ilmu, akan tercicir dan tidak dapat membangunkan negara," katanya yang ditemui di sini.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas Ar-Ridzuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh ketika ditemui pula berkata, anugerah yang diterima adalah sesuatu penghargaan kepada pendakwah khususnya yang bekerja dalam mengembangkan syiar Islam.

"Harapan saya semoga umat Islam bersatu kerana perpaduan yang menzahirkan kekuatan umat. Memang tidak dinafikan masyarakat kini berpecah belah, namun saya yakin perpaduan itu masih boleh dibina kembali," katanya. Selain menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan sejak tahun 2005 sehingga 2013, Wan Zahidi pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak 1983 hingga 1993.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198182