facebookinstagramblog RSS

03092016: Ustaz kena banyak menerang, bukan menyerang

metro

Pertemuan saya dengan lelaki berusia 40-an itu berlaku secara kebetulan. Cukuplah dia saya perkenalkan sebagai Ustaz Abdul. Apabila diberitahu kerjaya saya sebagai orang surat khabar, dia nampak seronok dan mengajak saya berbual panjang.

Saya juga berkongsi perasaan sama apabila dia yang bertugas sebagai guru agama di sebuah sekolah menengah, tidak lokek berkongsi pengalaman ketika melanjutkan pengajian tinggi di Mesir dan sempat berkelana ke Arab Saudi dan Yaman untuk menimba ilmu agama.

Secara umum, perbualan kami berkisar kepada pertanyaan saya tentang pendapat beliau mengenai isu semasa di dalam dan luar negara khususnya yang berkaitan Islam.

 

Biarpun, Ustaz Abdul bukan pendakwah terkenal, banyak buah fikirannya saya anggap berkualiti dan menarik untuk dikongsi di sini.

“Awak kena tulis dalam surat khabar. Tegur sikit pendakwah dan ilmuwan agama supaya jangan asyik bertelagah. Kalau mereka asyik nak menegakkan pendapat dan ego masing-masing, orang awam akan keliru.

“Ini tidak bagus untuk Islam dan ummah. Jangan jadikan Islam agama yang mengelirukan kerana Islam itu indah dan sempurna,” kata Ustaz Abdul.

“Siapalah saya nak nasihatkan orang agama. Saya cuma wartawan, tak belajar tinggi pun ilmu agama. Tak nak lah ustaz,” jawab saya.

Ustaz Abdul menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak setuju dengan jawapan saya.

“Awak tak boleh fikir macam tu. Islam bukan milik eksklusif ustaz dan pendakwah. Tok imam buat salah ketika solat pun kita wajib tegur. Maknanya, apa yang tak betul, kita kena tegur.

“Kritikan kita bukan untuk menjatuhkan sesiapa tapi untuk kebaikan. Awak tulislah...jangan takut,” katanya menasihati saya.

Mengambil kira pendapat dan nasihat Ustaz Abdul itulah saya memberanikan diri mengetengahkan isu pertelagahan dalam kalangan ilmuwan agama dalam ruangan kali ini.

Kepada yang peka dan prihatin, pastinya bersetuju bahawa ‘perang ustaz’ ini tak pernah reda, malah nampak semakin ketara mutakhir ini.

Hakikatnya, kata Ustaz Abdul, perkara ini bukan sesuatu yang aneh atau luar biasa, kerana ia sudah berlaku sebaik kewafatan Rasulullah SAW dan bermulanya zaman pemerintahan sahabat Baginda.

Namun, harus difahami perbezaan pendapat dan tafsiran hanya berlaku dalam soal furu’ (cabang) dan bukan soal pokok atau dasar Islam.

“Ini yang awak kena tulis dan tegur ustaz-ustaz kita. Perbezaan pendapat dalam soal cabang janganlah diperbesarkan. Sebaliknya, harus ditangani dengan bijak dan berlapang dada supaya mereka menjadi saling melengkapi.

“Ustaz-ustaz kena lebih banyak menerang, bukan menyerang. Pada masa ini ramai yang lebih suka menyerang, kurang membuat penerangan dan kurang ilmu dalam topik yang diperdebatkan,” kata Ustaz Abdul lagi.

Saya tidak mahu menyalahkan atau memihak kepada mana-mana golongan, namun amat bersetuju dengan Ustaz Abdul bahawa orang awam kini menjadi keliru apabila wujud banyak puak dalam kalangan ilmuwan agama dan tercetus terlalu banyak polemik dalam isu dan hukum agama.

Biarpun sudah disepakati umat Islam Malaysia berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, sentiasa ada pendapat berbeza daripada pihak yang cenderung kepada fahaman berbeza.

Antaranya, kelompok yang dilabel Wahabi atau dulunya digelar kaum muda. Ada juga yang mahu dianggap pengikut tarekat tertentu dan ada pula yang ekstrem, mahu dianggap penjihad.

Antara isu paling popular yang kerap diperdebatkan ialah soal bidaah, sedangkan semua perkara dibahaskan itu sebenarnya sekadar kesinambungan perdebatan sejak ratusan tahun lalu.

Malah, kebanyakannya sudah ada jawapan panjang lebar daripada ulama terdahulu, namun ia masih dibangkitkan semula dan dipolemikkan.

Masing-masing ada hujah tersendiri untuk mendakwa mereka di pihak yang benar. Itu sebenarnya tidak menjadi kesalahan, namun kekalutan timbul apabila ada yang dengan mudah menuding pihak tidak sealiran dengan mereka sebagai sesat, malah ada dilabelkan kafir.

“Cukuplah dengan pelbagai kelompok yang wujud dalam masyarakat kita akibat perbezaan fahaman politik? Biarlah orang politik saja yang bertelagah.

“Kalau orang agama pun sibuk nak berdebat hingga bercakaran,macam mana orang kita nak maju,” kata Ustaz Abdul.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro


Sumber: Harian Metro http://www.hmetro.com.my/node/163769
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 1:39 AM