facebookinstagramblogtwitterRSS

20 Jun 2016 : Belajar Islam sejak sekolah rendah

20 Jun 2016 : Belajar Islam sejak sekolah rendah

PUTRAJAYA – “Saya dah belajar mengenai agama Islam dan erti perpaduan sejak sekolah rendah lagi,” luah Pengarah Kumpulan Pendidikan Prima Suria, Juhaidi Yean Abdullah.

Juhaidi, 57, berkata, beliau sudah belajar dalam kelas agama mulai darjah dua di Sekolah Kebangsaan Melor, Kelantan.

“Hanya ada empat atau lima pelajar Cina di dalam kelas. Pada ketika itu pelajar berbangsa Cina atau India bebas memilih mata pelajaran sama ada Agama Islam atau subjek Tata Rakyat, tapi saya (pilih) nak belajar subjek Agama Islam sehingga darjah enam,” katanya.

Menurutnya, beliau sudah pandai menulis jawi ketika berusia sembilan tahun lagi.

“Tulisan jawi saya lebih cantik daripada tulisan jawi pelajar Melayu masa itu. Saya juga banyak bertanya soalan kepada ustazah berkaitan kejadian alam dan ketuhanan. Dua tahun kemudian saya sudah bertekad untuk menjadi seorang yang beragama Islam,” katanya.

Beliau, yang berasal dari Melor, Kelantan berkata, kawan baiknya juga terdiri daripada kalangan kanak-kanak Melayu di sekolah rendah.

“Persahabatan dengan orang Melayu diteruskan sehingga ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil di Pasir Puteh. Saya duduk di rumah keluarga Melayu selama setahun masa di tingkatan lima sebab jarak antara sekolah dan rumah saya agak jauh untuk berulang-alik,” katanya.

Menurutnya, beliau juga pernah menjadi guru sementara ketika menunggu keputusan peperiksaan tingkatan enam di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu.

“Saya ajar Pengajian Islam kepada pelajar tingkatan enam selama enam bulan. Saya ajar sejarah Nabi SAW, zaman jahiliah dan Khulafa Ar Rasyidin,” katanya.

Ketika  menuntut  di Universiti Malaya (UM) pada 1979, beliau mengakui lebih terdedah dengan erti 1Malaysia kerana mengenali ramai kawan yang mempunyai pelbagai latar belakang, bangsa dan loghat.

"Selepas tamat pengajian, saya kerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Masa itulah saya memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, dengan dibantu dua kakitangan Persatuan Kebajikan Islam LHDN," katanya.

Peluang jumpa masyarakat

Mengenai pengalaman kerjayanya, katanya, beliau berpeluang menjadi wartawan di sebuah syarikat media selama lapan tahun setelah melanjutkan pelajaran di Universiti Tsukuba di Jepun pada 1985.

“Saya kemudian jadi Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 1995. Selama 14 tahun saya pegang jawatan itu. Skop kerjanya pula berbeza dengan wartawan, malah banyak rahsia kerajaan perlu kita pegang,” katanya.

Menurutnya, jawatan sebagai setiausaha akhbar membuka ruang dan peluang yang luas baginya untuk berinteraksi dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

"Ia meningkatkan lagi pengalaman, pemahaman dan ketahanan serta membuka minda terhadap pelbagai isu baharu.

“Kita  bukan  sahaja mengendalikan kerja yang diberi, tetapi dalam masa sama kita mengendalikan krisis berhubung pelbagai  isu seperti isu air dan kenaikan harga minyak,” katanya.

Pada 2012, Juhaidi menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia sehinggalah ke hari ini.

“Aktiviti utama kita adalah untuk memastikaninstitusi pondok di Malaysia terus hidup, berkembang dan masa depan anak-anak yang ambil jurusan pengajian pondok ini lebih terjamin,” katanya.

Rakyat berpecah kerana politik

Dalam pada itu, Juhaidi berkata, perpaduan antara kaum boleh dipupuk melalui pelbagai bidang, termasuk sukan dan seni.

“Rakyat pelbagai kaum boleh bersatu menyokong  ahli sukan seperti  skuad badminton, hoki, skuasy atau bola sepak negara. Masyarakat juga suka menonton filem seperti Ola Bola.

“Penyanyi bukan Melayu seperti Datuk Andre Goh mempunyai ramai peminat Melayu manakala artis legenda Tan Sri P Ramlee pula ramai peminat bukan Melayu,” katanya.

Menurutnya, perbezaan politik yang ketara punca rakyat kini berpecah-belah.

“Terdapat ramai pelampau dalam kalangan ahli politik kita, sehingga kita berpecah dalam soal bahasa, pendidikan dan agama kerana semuanya dipolitikkan.

“Rakyat menaruh harapan kepada pemimpin politik sebagai ejen perpaduan tapi dalam banyak perkara, (sebahagian) mereka juga dipercayai punca masalah dan perpecahan kaum di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Cina Muslim dilihat boleh menjadi penghubung kepada Cina moderat dengan kaum lain.

“Sebagai Muslim, mereka cukup wasatiyyah dan dapat memberi imej baik untuk perbaiki persepsi kaum lain terhadap bangsa Cina.

“Ramai berjawatan tinggi dan berpengaruh di bidang politik, ekonomi, agama, perniagaan dan akademik. Jadi, mereka ada tanggungjawab harmonikan masyarakat dan menyumbang kepada perpaduan kaum dan pembentukan negara,” katanya.


Sumber: Sinar Online http://www.sinarharian.com.my/

Kemaskini; PPTM Diana, ICT