facebookinstagramblog RSS

PENGHAYATAN AL-QURAN


PENGHAYATAN AL-QURAN

BULAN AL-QURAN

Bulan Ramadhan dinamakan juga dengan Syahrul Quran iaitu Bulan Al-Quran. Ia diturunkan pada 17 Ramadan yang di sambut sebagai Nuzul al- Quran. Turunnya al-Quran secara beransur-ansur selama 23 tahun mengikut keadaan dan suasana masyarakat pada waktu itu di mana ia dinamakan juga sebagai Asbabun Nuzul iaitu sebab-sebab turun ayat. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran:

"Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil"(Surah al-Baqarah :185)

"Sesungguhnya  Kami telah menurunkan (al-Quran ) ini pada malam al-Qadr.Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al- qadr?. Malam al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan. Sejahtera malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar" (Surah al-Qadr: 1-5)

 

WAHYU PERTAMA

Wahyu pertama turun kepada nabi ialah Surah al-Alaq ayat 1-5 ketika nabi bersendirian beribadah kepada Allah di Gua Hira. Ketika Jibril a.s. datang dan mengajar nabi dengan "Iqra Ya Muhammad". Nabi menjawab "Aku tak pandai membaca". Jibril peluk nabi dan mengatakan lagi: Iqra ya Muhammad.  Nabi jawab: " aku tak pandai membaca". Sebanyak tiga kali sehingga akhirnya Jibril ajarkan nabi dengan ayat tersebut.

Hikmah yang paling besar apabila nabi dilahirkan  dalam keadaan ummi ( buta huruf ) supaya orang kafir Quraisy tidak dapat mendakwa bahawa al-Quran dicipta oleh Nabi Muhammad. Sifat tersebut tidak sama sekali menjatuhkan martabat sebagai seorang nabi.

 

SYAFAAT AL-QURAN DAN PUASA

Nabi s.a.w telah bersabda:

" Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada para hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: "Wahai Tuhanku aku telah menhalangnya daripada makan dan minum serta mengikut syahwat pada siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya". AlQuran berkata: " wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya, lalu diterimalah syafaat keduanya"(Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Abi dunya, al-Tabrani dan Hakim)

 

TADARUS AL-QURAN

Tadarus al-Quran ialah mempelajari al-Quran atau dengan kata lain Tahsin Qiraah secara berkumpulan paling minima 2 orang. Rasulullah bertadarus dan bertalaqi dengan Jibril pada bulan Ramadhan. Kebanyakan kita membaca al-quran secara individu. Tidak menjadi masaalah jika kita mahir dan pasti tidak salah dalam membaca al-Quran. Bagi mereka yang apabila membaca seorang diri mungkin tersalah atau memang akan banyak salah , maka lebih baik bertadarus secara berkumpulan supaya kesalahan dapat dibetulkan.

Apa ertinya membaca al-Quran dan khatam 30 juzuk selama sebulan Ramadhan tetapi apa yang dibaca banyak berlaku kesilapan. Bahasa arab adalah diantara bahasa yang agak sukar. Berubah baris kadangkala berubah makna. Sebagai contoh perkataan "mar'ah" dengan berbaris atas huruf mim membawa maksud perempuan. Apabila kita ubah dengan membaca "mir'ah" dengan membaris bawahkan huruf mim , maka ia telah berubah makna iaitu "cermin".

 

PAHALA MEMBACA AL-QURAN

"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain"( Hadis Riwayat Buhari)

"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (al-Quran) , maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan itu digandakan menjadi sepuluh yang seumpamanya. Tiadalah aku mengatakan, Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf" (Hadis Riwayat Tirmizi)

"Amalan yang paling utama bagi umatku adalah membaca al-Quran" (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

"Sesiapa yang membaca al-quran, dengan berdiri (dalam solat) pada sebahagian malam dan siang, dia menghalalkan apa-apa yang dihalalkan al-Quran, dan mengharamkan apa-apa yang diharamkan al-Quran, melainkan Allah mengharamkan dagingnya daripada dibakar oleh api neraka" (Hadis Riwayat Ibnu Ma"sud)

"Tuhan kami tabaraka wa Taala telah berfirman: "Sesiapa disibukkan oleh al-Quran lantaran mengingati Aku dan memohon sesuatu permohonan kepadaKu, nescaya aku anugerahkan kepadanya sesuatu apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta. Keutamaan Kalamullah atas segala perkataan yang lain itu, adalah seperti keutamaan Allah atas makhlukNya" ( Hadis Riwayat Tarmizi)

 

CAHAYA AL-QURAN

"Sinarilah rumah-rumah kamu dengan solat dan membaca al-Quran"(Hadis Riwayat al-Baihaqi)

"Aku (Abu Dzar) berkata, wahai Rasulullah, berikan aku nasihat. Nabi bersabda:"Hendaklah engkau bertaqwa kepada allah, kerana ia teras bagi semua perkara". Aku berkata lagi: "Tambahkan untukku ya Rasulullah". Baginda bersabda: " Hendaklah engkau melazimkan membaca al-quran, kerana ia cahaya untukmu di bumi dan perbendaharaan untukmu di langit"(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Wallahu a'lam bissowab

 

Susunan:
Ustaz Khairuddin bin Haiyon
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah
Unit Penerangan & Penerbitan
JAIS