img1               img2                 img3                   img4  
Soalan Lazim  Hubungi Kami  Aduan & Maklumbalas  Peta Laman

Apabila Kuasa Mahkamah Syariah Mudah Dicabar

11 November 2014 : Apabila Kuasa Mahkamah Syariah Mudah Dicabar

KUALA LUMPUR: Kekecohan berita mengenai tiga lelaki transgender yang mencabar hukuman yang telah dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah Syariah Negeri Sembilan baru-baru ini membuka mata ramai pihak.

Selain mendapat liputan di saluran berita televisyen dan akhbar harian, ia juga hebat diperkatakan di media sosial sekali gus mencetuskan persoalan yang lebih besar.

Sementara sebahagian masyarakat yang menyebelahi kumpulan mak andam itu ‘meraikan’ kemenangan atas keterbukaan mahkamah terhadap hak kumpulan minoriti, sebahagian besar yang lain pula kini mengerut dahi.

Bagai ada yang tidak kena, persoalan dalam fikiran mereka itu secara tidak langsung membongkar semula banyak kes lain yang disifatkan meragui fungsi dan kedudukan undang-undang syariah di negara ini.

Kita ketepikan sebentar isu transgender tersebut. Perkara pokok sekarang ini adalah tentang masyarakat umum yang mula mengimbas kembali beberapa kes lain yang pernah dibicarakan Mahkamah Syariah.

Antara yang masih segar dalam ingatan adalah mengenai kes-kes ibu bapa yang berebut hak penjagaan anak, soal pembahagian harta, isu murtad hinggalah kepada kontroversi penentuan agama bagi seseorang yang telah meninggal dunia.

Semua kes tersebut menjurus kepada satu kesimpulan awal iaitu betapa mudahnya kuasa Mahkamah Syariah dicabar dan kebimbangan mengenai terpinggirnya acuan syariah dalam jalur utama sistem perundangan serta kehakiman di negara ini.

Bidang kuasa yang masih kecil

Perkara tersebut diakui oleh Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, dalam isu melibatkan transgender tersebut, ia menunjukkan kepada umum dengan jelas bahawa keputusan Mahkamah Syariah negeri secara ‘automatik’ boleh menjadi tidak sah apabila didapati bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang syariah atau bidang kuasa agama Islam diletakkan di bawah kuasa Sultan atau negeri. Sempadan kuasanya tidak luas memandangkan ia masih tertakluk di bawah rangkuman undang-undang yang lebih tinggi iaitu mengikut Perlembagaan Persekutuan,” ujar Mohd Naim.

Jelas beliau, Mahkamah Syariah di negara ini sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan.

“Pada tahun 1988, suatu pindaan telah dibuat terhadap Perkara 121 untuk mengelakkan berlakunya pertindihan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dan bagi memastikan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan dalam urusan Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, taraf kedua-duanya tetap sama,” ujar Mohd Naim.

Beliau turut menyebutkan beberapa faktor keterbatasan kuasa Mahkamah Syariah di negara ini. Selain sekadar boleh membicarakan kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam, pelaksanaan undang-undang syariah juga dibatasi oleh Perlembagaan dan akta-akta tertentu.

“Ada beberapa kes, Mahkamah Syariah tidak mempunyai kata putus untuk menjatuhkan hukuman jika didapati tidak selari dengan perkara-perkara yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam,” kata Mohd Naim.

Antara kelemahan lain yang ketara, menurut Mohd Naim, adalah hal-hal seperti ketidakseragaman undang-undang antara negeri dan kekurangan hakim Mahkamah Syariah hingga sesetengah kes itu tertangguh lama.

“Hakikatnya kini adalah, atas kelemahan-kelemahan itu, Mahkamah Syariah belum mencapai tahap ia mempunyai kuasa. Walaupun pernah berlaku beberapa pindaan kecil, kematangannya masih jauh.

"Kita perlu bertanya, adakah perubahan dasar seterusnya boleh dibuat dan adakah Parlimen sedia memberi kuasa yang lebih tinggi kepada Mahkamah Syariah?” tanya Mohd Naim.


Memahami jurisdiksi dan isu kes

Keterbatasan bidang kuasa Mahkamah Syariah turut diulas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia, Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Menurut beliau, tanggapan umum tentang fungsi Mahkamah Syariah sering berkisar pada isu perkahwinan dan cerai. Kredibiliti penghakimannya juga pada dasarnya ‘belum menyerlah’ dalam menangani isu yang melibatkan kes kesalahan syarak apatah lagi jenayah pada tahap tertentu.

“Mahkamah Syariah buat masa ini tidak diberi kuasa untuk membincangkan isu-isu fundamental, kerana semua itu tentunya akan dikendalikan Mahkamah Sivil.

“Begitupun, pindaan berperingkat yang pernah dilakukan adalah bertujuan memberi jurisdiksi yang lebih jelas antara syariah dan sivil supaya kedua-duanya tidak saling campur tangan,” ujar Mohamed Azam.

Beliau menambah, sekiranya kedua-dua mahkamah tersebut memahami jurisdiksi masing-masing, tidaklah timbul isu penghakiman sivil yang mengatasi ketetapan mahkamah syariah.

Dalam isu transgender yang kecoh diperkatakan minggu lalu, Mohamed Azam berpendapat, seseorang hakim perlu kembali kepada dasar sesebuah penilaian dalam membuat keputusan iaitu mengambil kira setiap sesuatu dengan memandang hal-hal tersurat dan tersirat.

Ujar Mohamed Azam; “Pada satu bahagian, hakim Mahkamah Rayuan itu melihat pada alasan laporan perubatan sahaja ketika membuat keputusan. Tetapi adakah hakim itu menilai dari perspektif yang lebih besar tentang perlakuan, kesalahan dan kesannya pada pelaku serta masyarakat umum?”.

Hukuman hanyalah jalan akhir

Dalam hal yang melibatkan lelaki berpakaian wanita baru-baru ini, Mohamed Azam berpendapat ketua hakim Mahkamah Rayuan tersebut membuat keputusan apabila hujah pembelaan disertai laporan doktor mengenai kecelaruan identiti gender (GID).

“Sedangkan keputusan di Mahkamah Syariah itu sudah jelas. Bidang kuasa yang diberi kepada negeri boleh menegakkan undang-undang tertentu termasuk hukuman kepada orang Islam yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam,” ujar Mohamed Azam.

Beliau bimbang dengan perkembangan perkara tersebut, pada masa akan datang ada pihak yang tampil dengan pelbagai jenis laporan perubatan yang bertujuan menyebelahi kepentingan mereka semata-mata.

“Tidakkah kita terfikir jika suatu hari nanti, ada pihak yang akan menunjukkan sokongan dokumen dari doktor mengatakan mereka dilahirkan dengan masalah kecelaruan identiti hingga menjadikan mereka lesbian atau gay.

“Kita khuatir ini bakal terjadi. Golongan ini meminta mahkamah mengiktiraf pula kewujudan mereka,” kata Mohamed Azam.

Bagaimanapun, menurut Mohamed Azam, menjatuhkan hukuman sebenarnya adalah jalan terakhir untuk diambil. Sebaliknya, beliau lebih percaya pada usaha pemulihan dan bimbingan yang banyak dijalankan pihak-pihak berkaitan.

“Saya akui ada yang berjaya dan ada yang tidak. Namun, ia perlu terus dilakukan,” ujar beliau.


Memperbaiki imej dan fungsi

Bercakap tentang masalah ketidakseragaman pelaksanaan undang-undang syariah di negara ini, Mohamed Azam berkata, hak mutlak yang diberikan kepada negeri dalam melaksanakan undang-undang tersebut selama ini sedikit sebanyak menyebabkan perbezaan.

“Contoh yang jelas hari ini adalah berkenaan hukuman denda atau tempoh penjara bagi orang Islam yang minum arak. Hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Syariah di Kelantan dan Pahang tidak sama dengan hukuman di Selangor,” ujar beliau.

Beliau turut mengimbas tentang pertikaian antara negeri mengenai isu latihan kepimpinan ESQ, yang suatu ketika dahulu pernah membuatkan pihak penentu fatwa dan pihak berkuasa undang-undang tidak sepakat dalam membuat keputusan.

Walaupun begitu, usaha penyelarasan undang-undang syariah terus dijalankan mengikut peringkat dan ia mendapat perkenan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Objektif umum persidangan itu adalah untuk mendapatkan pandangan negeri-negeri ke arah memperkemas dan memantapkan undang-undang Islam di Malaysia selain mencapai kata sepakat ke arah penyeragaman undang-undang di samping mengeratkan hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri dalam hal ehwal perundangan Islam.

Mohamed Azam memberitahu, kerajaan juga sedang giat menggerakkan perancangan menaikkan taraf hierarki , fasiliti dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Sekarang ini, rangka penghakiman mahkamah syariah sudah mempunyai tiga peringkat dan ia akan ditambah sehingga menjadi lima peringkat hierarki.

Lima peringkat itu ialah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis Rayuan Syariah.

Selain penambahan bilangan pegawai dan hakim, semua itu bakal disertai usaha pemantapan perkhidmatan dan juga peningkatan kuasa hukuman bagi menangani perbicaraan pelbagai jenis jenayah.

Usaha meneliti semula had hukuman Mahkamah Syariah negara ini terutama Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah perlu memandangkan ia masih rendah berbanding Mahkamah Sivil.

Turut menunggu pembaikan adalah aspek perjawatan dan emolumen hakim-hakim Mahkamah Syariah supaya setaraf dengan Mahkamah Sivil. Sejurus semua ini membuahkan hasil, Mahkamah Syariah akan memasuki suatu lembaran baru di dalam sejarah penubuhannya.

Pembikinan imej dan fungsi Mahkamah Syariah yang lebih baik pada masa akan datang tentunya akan melibatkan komitmen berterusan pihak jabatan kemajuan agama, kerajaan-kerajaan negeri, kementerian dan juga pemerintah tertinggi negeri.


Artikel Penuh: http://www.astroawani.com/news/show/apabila-kuasa-mahkamah-syariah-mudah-dicabar-48111?cp
© Astro Awani

Sebatan Syariah Pertama Di Khalayak Ramai

29 Oktober 2014 : Sebatan Syariah Pertama Di Khalayak Ramai

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang telah telah mempermudahkan urusan hamba-hamba-Nya. Atas izin Allah s.w.t, akhirnya telah terlaksana satu hukuman sebatan syariah sebanyak 6 sebatan ke atas pesalah lelaki berumur 24 tahun yang telah disabitkan melakukan persetubuhan haram di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah No. 3 (Sabah) 1995. Perlaksanaan hukuman telah dijalankan di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau, Sabah pada 28 Oktober 2014 bersamaan 4 Muharram 1436H.

Perlaksanaan hukuman penuh bersejarah itu disaksikan oleh hampir 40 orang yang terdiri dari Hakim Mahkamah Tinggi dan Rendah Syariah Tawau, Pegawai-Pegawai Kanan Mahkamah Syariah Tawau, kakitangan Mahkamah, Pegawai Penjara, Pegawai Perubatan Hospital Tawau, keluarga pesalah, Pegawai Penguatkuasa Agama dan hampir 20 orang Peguam Syarie yang beramal di Tawau.

Dewan Mahkamah sudah mulai dipenuhi hadirin setelah menjalani tapisan keselamatan dari Polis Mahkamah seawal jam 8.45am. Semua yang hadir tidak dibenarkan membawa talipon bimbit dan kemera ke dalam Dewan Mahkamah.

Upacara perlaksanaan hukuman dijalankan penuh tertib. Tidak ada pakaian khas yang disediakan pihak penjara kepada pesalah bagi tujuan perlaksanaan sebat. Ini kerana, hukuman yang dikenakan kepada pesalah adalah semata-mata sebatan sahaja tanpa pemenjaraan. Pesalah dibenarkan memakai pakaian biasa yang menutup aurat.

Bagi melicinkan perjalanan hukuman, Mahkamah telah menyediakan aturcara perlaksanaan. Tepat jam 9.30am, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau yang memakai jubah khas Hakim masuk ke Dewan. Atas arahan pegawai mahkamah, semua hadirin dalam dewan berdiri. Setelah Hakim memberi salam, semua hadirin kemudiannya duduk. Sebaik Hakim menghentakkan Tukul Mahkamah, upacarapun dimulakan dengan bacaan Al- Fatihah. Ucapan pembukaan seterusnya dibuat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Tawau. Hadirin dimaklumkan bahawa sebentar lagi hukuman sebatan sebanyak 6 kali akan dilaksanakan oleh pihak Penjara ke atas pesalah yang dihukum atas kesalahan melakukan persetubuhan haram dengan seorang wanita di bawah Seksyen 80(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Sabah) 1995. Tumpuan pada hadirin adalah pada ucapan pembukaan yang disampaikan Timbalan Pendaftar dengan suara yang kuat dan jelas.

Sebaik Timbalan Pendaftar menamatkan ucapan pembukaan yang memakan masa lebih kurang dalam satu minit, Pegawai Penjara kemudiannya berdiri tegak di hadapan Hakim dan memohon agar perlaksanaan hukuman sebat dimulakan. Hakim memberi kebenaran dengan ucapan “boleh mulakan!”. Pegawai Perubatan dari Hospital Daerah Tawau kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh pesalah. Setelah selesai, Pegawai Penjara seterusnya memaklumkan kepada Hakim bahawa pesalah adalah dalam keadaan yang sihat dan hukuman boleh dilaksanakan terhadapnya. Dengan kata-kata “Hukuman sebat boleh dilaksanakan sekarang kepada pesalah!” oleh Hakim, maka saat yang penuh mendebarkanpun bermula.

Pesalah yang dari awal duduk di barisan hadapan dibawa oleh Pegawai Penjara ke ruang tengah Dewan yang dikosongkan. Dalam ruangan kosong itulah pesalah diminta berdiri dan memegang meja yang ditempatkan sebagai ruangan saksi dalam Mahkamah. Suasana terus sunyi sepi tanpa sebarang suara. Semua mata tertumpu kepada apa yang dilakukan oleh Tukang Sebat yang telah sedia ada dari awal. Tiada suara yang keluar dari mulut Tukang Sebat. Tubuh yang tegap dengan pakaian T-Shirt Penjara jelas menampakkan lengannya yang keras dan berotot. Rotan yang cukup sederhana berada pada tangannya sambil memperbetulkan kedudukan tubuh pesalah. Saat ini kelihatan wajah-wajah para hadirin menunjukkan penuh debaran dan mengujakan. Ada juga peguam yang memalingkan wajahnya ke arah yang lain. Mungkin kerana tidak sanggup melihat apa yang akan dilakukan kepada pesalah itu. Hadirin pula, ada yang menundukkan wajahnya pada saat-saat sebatan hendak dilaksanakan.

Pesalah dihadapkan ke arah dinding dewan mahkamah dalam keadaan berdiri. Tangan pesalah memegang hujung meja saksi yang agak tinggi. Pesalah kemudiannya diarahkan untuk membongkokkan sedikit badannya. Kini kedudukan pesalah benar-benar menghadap dinding dan tidak melihat para hadirin. Para hadirin pula dapat melihat dengan jelas bahagian belakang pesalah. Semua mata tertumpu kepada dua orang sahaja. Tumpuan 100 peratus diberikan kepada pesalah dan Tukang Sebat. Terpancar pada wajah pesalah suatu keresahan penuh gementar akan apa yang bakal berlaku terhadapnya sebentar lagi. Pegawai Penjara yang berdiri berdekatan dengan kedudukan pesalah dan tukang sebat mengambil buku catatan khas dan merekodkan apa yang akan berlaku. Pesalah tidak diikat mahupun dipegang oleh sesiapa. Jelas terpancar kesediaan pesalah untuk disebat menurut syariat Islam.

Dalam suasana yang penuh mendebarkan, tanpa suara dan bunyi-bunyian, akhirnya sebatan pertama dilaksanakan ke bahagian belakang tubuh pesalah. Hayunan rotan yang digunakan adalah cukup sederhana. Ukuran ketebalan rotan pula tidak melebihi 1.25 sentimeter dan panjangnya pula tidak melebihi 1.22 meter. Sebatan tersebut cukup ringan dan jelas sekali tidak menyakitkan, apatah lagi pesalah adalah dalam keadaan berpakaian menutupi tubuhnya. Selepas sebatan pertama, Pegawai Penjara yang merekodkan sebatan membuat kiraan dengan suara tinggi “satu!”. Begitulah seterusnya sebatan dijalankan sehingga tamatlah 6 kali sebatan. Terpancar dari wajah pesalah satu kepuasan dan kelegaan setelah tamatnya sebatan terakhir. Tidak ada langsung pada wajah pesalah yang menggambarkan kesakitan atau kesengsaraan akibat sebatan.

Pegawai Perubatan sekali lagi membuat pemeriksaan ke atas tubuh pesalah pada bahagian yang disebat. Setelah berpuas hati, akhirnya Pegawai Penjara memaklumkan bahawa perlaksanaan sebatan telah sempurna dilaksanakan. Pegawai Penjara membawa pesalah ke tempat duduk dalam dewan. Kini, semua mata tertumpu kepada Hakim yang berada tengah-tengah di tempat khas Hakim yangdiapit oleh dua bendera rasmi iaitu Bendera Kebangsaan dan Bendera Negeri Sabah di kiri dan kanan.

Setelah semuanya duduk, Hakim memulakan ucapan penutup yang cukup bernilai dan bersejarah. Ucapan tersebut telah disediakan secara bertulis bagi melicinkan upacara perlaksanaan hukuman. Berikut adalah ucapan Hakim berkenaan yang telah menyentuh sanubari para hadirin dalam dewan:

“Alhamdulillah. Sebentar tadi kita semua telah menyaksikan di hadapan mata kita perlaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah atas kesalahan zina. Hukuman sebat adalah satu hukuman yang ditetapkan oleh Allah kepada orang yang melakukan zina sebagaimana disebutkan dalam surah an Nuur: 2 yang berbunyi:

Perempuan yang berzina dan laki laki yang berzina, hendaklah kamu sebat kedua-duanya seratus kali sebatan. Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh kumpulan daripada orang yang beriman”.

Para hadirin semua telah menyaksikan betapa hukuman sebat yang telah ditetapkan Allah itu bukanlah satu hukuman menyiksa atau mendera atau mengazab pesalah. Ia jauh sekali lebih ringan berbanding hukuman yang dikenakan dari Mahkamah Awam. Inilah dia hukuman yang selama ini digeruni dan ditakuti oleh ramai orang selama ini. Mereka menyangka betapa kejam dan dahsyatnya hukuman sebat dalam Islam. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan terhadap hukuman ini. Namun, hari ini, para hadirin semua dapat saksikan depan mata. Apakah benar dakwaan orang-orang tersebut bahawa hukuman Islam ini kejam? Anda semua boleh menjawapnya hari ini.

Para hadirin semua, dalam Islam, perlaksanaan hukuman hendaklah dilakukan di khalayak umum. Ini telah disebutkan sendiri oleh Allah dalam surah an Nuur: 2 yang dibacakan tadi. Allah menegaskan bahawa hukuman tersebut hendaklah disaksikan oleh sekumpulan orang-orang beriman. Tujuannya bukan mendera, bukan menyeksa, tetapi untuk memberi pengajaran, pendidikan dan keinsafan kepada kepada pesalah dan orang lain, lebih-lebih lagi kepada orang yang menyaksikan hukuman itu, jangan sampai perbuatan ini dilakukan lagi oleh pesalah atau orang yang menyaksikan atau ahli-ahli keluarga yang menyaksikan dan juga oleh masyarakat. Kesannya adalah kepada jiwa dan minda manusia. Inilah dia keindahan dan mutiara Islam yang perlu diketahui orang.

Ketika ini, pemerintah hanya memberi mahkamah syariah kuasa untuk menghukum sebat paling maksima 6 kali sebatan sahaja berbanding 100 kali sebagaimana yang diperintahkan Allah. Dan hari ini, Mahkamah ini telah mengambil dan melaksanakan kuasa yang diberi oleh pemerintah itu. Kita doakan semoga pihak pemerintah akan memperkasa lagi undang-undang yang sedia ada sehingga benar-benar menurut apa yang disebutkan dalam Al Quran pada masa akan datang. Amin yaa Rabbal alamin.

Semoga Allah meredhai perlaksanaan hukuman pada hari ini dan menghitungnya sebagai sebahagian daripada amal soleh dan usaha kita semua untuk memartabatkan hukum Allah di muka bumi. Semoga dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah ini diampuni Allah. Semoga perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum pada hari ini membawa rahmat kepada perkembangan undang-undang Islam di negara ini. Sekian. Wassalamualaikum wbt”.

Ucapan ini telah menarik tumpuan para hadirin. Hakim turut membacakan ayat al- Quran dalam Surah an-Nuur: 2 berserta terjemahannya sebagai satu ingatan kepada hadirin betapa perlaksanaan hukuman pada hari bersejarah itu adalah sebagai menyahut perintah Allah s.w.t. Tidak dapat dinafikan bahawa perlaksanaan hukuman sebat itu ini adalah satu sejarah yang paling bernilai dalam perkembangan perundangan Islam di negara ini. Ini kerana, inilah kali pertama dalam sejarah negara di mana pesalah jenayah syariah disebat di khalayak umum iaitu di dalam Dewan Mahkamah Syariah. Perlaksanaan hukuman di luar penjara ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang membenarkan mahkamah berbuat demikian. Seksyen 125(3) ( c ) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah No. 9 (Sabah) 2004 secara jelas menyebutkan bahawa hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarah oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu.

Rata-rata hadirin yang ditemui menyatakan perasaan lega dan berpuas hati dengan perjalanan hukuman yang penuh bersejarah ini. Perlaksaanaan hukuman dijalankan dengan penuh tertib dan teratur. Tidak ada perkara-perkara tidak diingini berlaku sebelum, semasa dan selepas perlaksanaan hukuman dijalankan. Pesalah yang ditemui selepas hukuman juga mengakui tidak merasa disakiti secara fizikal akibat sebatan tersebut. Jelaslah betapa hukuman sebatan dalam Islam bukanlah untuk menyakiti, mendera atau menyeksa pesalah. Hukuman tersebut sebaliknya mampu mendidik hati nurani pesalah, orang-orang yang menyaksikan hukuman dan juga masyarakat sekeliling supaya menjadi manusia yang mempunyai disiplin dan peradaban yang tinggi sebagai khalifah di muka bumi.

Bagi mencapai matlamat untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat tentang falsafah hukuman dalam Islam, mahkamah boleh membuka ruang kepada orang ramai dengan menjemput dari masa ke semasa pelbagai lapisan masyarakat meliputi pemimpin masyarakat, guru-guru agama, para pendakwah, para pelajar dan NGO untuk menyaksikan sendiri perlaksanaan hukuman sebat di Mahkamah. Malah tidak keterlaluan sekiranya pembuat undang-undang itu sendiri yang terdiri dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen (MP) juga wajar sekali dijemput untuk melihat sendiri perlaksanaan hukuman tersebut bagi mendapat gambaran yang jelas mengenai perlaksanaan undang-undang yang telah diluluskan oleh kedua-dua badan perundangan utama negara ini.

Semoga perlaksanaan hukuman sebat di hadapan umum dapat pula dilaksanakan di negeri-negeri lain selepas ini agar masyarakat benar-benar melihat dengan kepala dan mata sendiri betapa indah dan hebatnya hukuman dalam Islam. Tidak seperti yang digembar gemburkan sebagai hukuman yang zalim, ganas, mendera dan menyeksa oleh orang-orang yang tidak senang melihat undang-undang Islam yang adil ini dilaksanakan di negara ini.


Artikel Penuh: http://erakita.wordpress.com/2014/10/29/sebatan-syariah-pertama-di-khalayak-ramai/
© Blog ERAKITA 

Gagal hadir kes tuntutan jagaan anak: Isteri Awie diperintah bayar kos RM500

4 September 2014 : Gagal hadir kes tuntutan jagaan anak: Isteri Awie diperintah bayar kos RM500

Gagal hadir kes tuntutan jagaan anak: Isteri Awie diperintah bayar kos RM500

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan isteri Awie, Rozana Misbun, membayar kos sebanyak RM500 kepada penyanyi dan pelakon itu kerana gagal hadir ketika sebutan kes tuntutan jagaan sementara tiga anak mereka.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain membuat keputusan itu selepas Rozana, 36, dan peguamnya, Majdah Muda, tidak kelihatan ketika prosiding mahkamah bermula pada Rabu.

Mohd Amran berkata mahkamah memandang serius perkara itu kerana boleh menjejaskan prosiding mahkamah dan keadilan mana-mana pihak.

Rozana muncul bersama-sama peguamnya 20 minit kemudian dan memberi alasan mereka lewat kerana berurusan di kaunter untuk menyerahkan beberapa dokumen permohonan lain berkaitan kes itu.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan keputusan berhubung kos yang perlu Rozana bayar kepada Awie.

Pada prosiding pada Rabu, Majdah memaklumkan pihaknya memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Nassir Abdul Aziz, yang memberi hak jagaan sementara ketiga-tiga anak pasangan itu kepada Awie, 46, pada 21 Julai lepas.

Bagaimanapun, peguam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, membantah permohonan itu.

Mahkamah menetapkan 17 Sept ini untuk mendengar hujah kedua-dua pihak sebelum memutuskan perkara itu pada hari berikutnya.

Majdah turut memaklumkan pihaknya membuat permohonan untuk mengubah keputusan itu yang memberi Rozana hak melawat anaknya dua kali sebulan, iaitu pada minggu pertama dan ketiga selama dua jam bagi setiap sesi lawatan di rumah yang didiami Awie serta anak mereka.

Penyanyi rock terkenal Kumpulan Wings itu bernikah dengan Rozana di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Pada 4 Julai lepas, Awie, pelakon utama filem 'Zombie Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah' dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.astroawani.com/news/show/gagal-hadir-kes-tuntutan-jagaan-anak-isteri-awie-diperintah-bayar-kos-rm500-43178?cp
© ASTRO AWANI

Sambutan Maal Hijrah 1436H Muatkan Mesej Bermakna Buat Umat Islam

25 Oktober 2014 : Sambutan Maal Hijrah 1436H Muatkan Mesej Bermakna Buat Umat Islam

Sambutan Maal Hijrah 1436H Muatkan Mesej Bermakna Buat Umat Islam

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Sambutan Maal Hijrah 1436H disambut secara sederhana namun sarat dengan mesej bermakna buat pedoman umat Islam dengan tumpuan kepada acara sambutan peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam ucapannya di majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara lain mengajak masyarakat menjadikan hijrah yang dilakukan Rasulullah SAW dalam menyatukan dan mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar sebagai pedoman dalam mengurus kepelbagaian kaum yang ada di negara ini.

Majlis bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu turut menyaksikan Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, 76, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, menteri-menteri kabinet dan duta-duta luar negara.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata umat Islam perlu memperkukuh perpaduan untuk menangkis segala anasir negatif yang mahu merosakkan agama Islam.

"Jadikanlah kejayaan Rasulullah SAW serta para sahabat yang membina kesatuan ummah sebagai contoh dalam membangunkan kemajuan negara bangsa berteraskan perpaduan kaum dan agama," katanya ketika berucap pada perhimpunan Maal Hijrah peringkat negeri di Ayer Keroh.

Pada majlis itu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Melaka kepada penceramah bebas Dr Zahazan Mohamed, 40, atas usaha beliau menegakkan syiar Islam.

Di PULAU PINANG, sambutan yang berlangsung di Dewan Seri Pinang menyaksikan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas mengingatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan pemikiran yang tersasar daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bekas mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, 72, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri tahun ini berdasarkan sumbangan beliau dalam bidang keagamaan.

Di KEDAH, kira-kira 3,000 umat Islam menghadiri sambutan Maal Hijrah 1436 di Dewan Seri Negeri yang turut disertai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pada majlis itu, Tunku Sallehudin bertitah setiap umat Islam seharusnya bangkit dan sedar untuk menanam benih perpaduan, persaudaraan, tolong-menolong, pengorbanan dan bertakwa kepada Allah.

Ia menyaksikan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Kedah, Syeikh Hassan Ariffin menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri manakala Tokoh Saudara Kita milik kakitangan Kolej Vokasional Langkawi, Mohd Ismail Eh Abdullah.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah perpaduan menjadi kunci kejayaan ummah kerana tanpanya tidak akan wujud keamanan, ketenangan dan kemakmuran.

Baginda turut berharap usaha terus dibuat dalam misi memartabatkan al-Quran di negeri itu, sekali gus menghasilkan lebih ramai qari dan qariah mahupun Hafiz dan Hafizah bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Mamat Osman, 60, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Negeri Terengganu 2014 atas kegigihannya membesarkan empat anak dengan penekanan kepada soal pendidikan.

Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyarankan semua pihak terus memberi sumbangan dalam bidang masing-masing tanpa mengira pangkat atau taraf kehidupan bagi meningkatkan martabat Islam.

Pada sambutan Maal Hijrah dihadiri 1,500 peserta di Dewan Pusat Islam Iskandar, anugerah Tokoh Maal Hijrah Johor menjadi milik Morsyid Mahrof, 66, iaitu Hakim Mahkamah Rayuan Syariah secara kontrak sejak 2009, yang membuka kelas Qiraat sejak bersara bagi menyampaikan ilmu agama kepada pelajarnya.

Di SABAH, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata setiap rakyat perlu menerima dan menghormati kepelbagaian termasuk di Sabah dengan tidak menyentuh perkara sensitif yang boleh mencetus kemarahan atau insiden tidak diingini.

"Rapatkanlah saf (barisan) dengan mengukuhkan persefahaman, sentiasa sokong menyokong, bersaing secara sihat, bekerja bersungguh-sungguh, berdisiplin dan bersatu padu demi agama, bangsa dan negara," katanya dalam ucapannya pada sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Sabah di Papar.

Di SARAWAK, sambutan di Dewan Suarah Limbang dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem. Semalam, Abdul Taib menghadiri majlis bacaan doa akhir dan awal tahun hijrah di Masjid Bahagian Limbang.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat menghadiri sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Amanjaya Convention Centre, Casuarina @ Meru di Ipoh.

Baginda berkenan menyampaikan anugerah Khas Darul Ridzuan kepada Tun Dr Abdullah Ayub yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara antara tahun 1979 dan 1981 sebelum bersara daripada perkhidmatan awam.

Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak kepada bekas Ketua Penolong Pengarah (Penyelidikan) Jabatan Agama Islam Perak Yunus Alias, 62.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah di Masjid Negeri di Seremban, Jumaat malam.

Pada majlis itu, Tuanku Muhriz berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1436H negeri kepada Raja Tan Sri Muhammad Alias Tengku Mohd Ali atas jasa dan bakti dalam bidang keilmuan dan kajian sains.

Di KELANTAN, Muhammad Taufiq Abdullah, 35, yang memeluk Islam 17 tahun lalu dan kini bertugas sebagai guru, dipilih sebagai Tokoh Hijratul Rasul bagi kategori Saudara Kita sempena sambutan Hijratul Rasul peringkat Kelantan di Tumpat, Jumaat malam.

Anugerah itu disampaikan Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.


Artikel Penuh: http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=1079557
© BERNAMA