facebookinstagramblog RSS

      img1               img2                 img3                   img4  
Soalan Lazim  Hubungi Kami  Aduan & Maklumbalas  Peta Laman

Isu transgender: Keputusan mahkamah cabar undang-undang Islam - DUPP

09 November 2014 : Isu transgender: Keputusan mahkamah cabar undang-undang Islam - DUPP

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak berperlembagaan menjadi cabaran terhadap kedudukan undang-undang Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, penghakiman itu menimbulkan persoalan sejauh mana kedudukan Islam di dalam negara terpelihara dan berdaulat.

"Telah termaktub Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Peruntukan Islam agama Persekutuan tersebut tidak harus ditafsir menurut kaca mata penjajah yang mentafsirkan Islam hanya sebagai amalan upacara keagamaan semata-mata, tetapi mesti ditafsirkan sebagai Islam sebagai cara hidup dengan segala perundangannya adalah rujukan tertinggi negara ini dan mana-mana undang-undang yang berlawanan adalah terbatal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Jumaat, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohd. Hishamudin Mohd Yunus yang termasuk Hakim Aziah Ali dan Lim Yee Lan membuat keputusan Seksyen 66 Enakmen Syariah (Negri Sembilan) 1992 tidak sah dari segi perlembagaan melalui Perlembagaan Persekutuan Artikel 5, 8,9 dan 10.

Ia rentetan kes tiga lelaki Islam yang dituduh di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan di bawah Seksyen 66 kerana memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam.

Kes kemudiannya dibawa ke Mahkamah Sivil bagi memohon perisytiharan bahawa seksyen tersebut adalah tidak berperlembagaan.

Keputusan ini juga memberi maksud undang-undang berkaitan yang diamalkan di negeri dan Wilayah Persekutuan juga batal dan tidak sah.

Dalam pada itu, kata Dr Mohd Khairuddin, keputusan itu juga dilihat tidak selaras dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Ia telah diperhalusi oleh Hakim Tan Sri Harun Hashim dalam kes Mohammed Habibullah bin Mahmood lwn Faridah binti Dato’ Talib [1992] 2 MLJ 793," jelasnya.

Oleh itu katanya, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menuntut Kerajaan Negeri Sembilan secara khusus menerusi Exco Agama dan Majlis Agama Islam Negeri mengambil proses perundangan yang wajar bersifat segera bagi menangani isu ini.

"Kita juga menuntut tindakan segera menurut lunas perundangan oleh pihak berwajib yang lain bagi menangani isu ini dengan penuh keprihatinan.

"Ia harus bermula dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAKIM serta Exco-exco Agama Negeri dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri selaku penasihat dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan, Raja, Yamtuan negeri masing-masing dan Yang DiPertuan Agong bagi negeri yang tidak mempunyai Raja.

"Para pengamal undang-undang beragama Islam juga perlu segera bangkit memanfaatkan kemampuan ilmu dan kemahiran guaman mereka di bidang ini bagi membantu pihak berwajib memastikan kedaulatan undang-undang Islam di negara ini terpelihara. Ia merupakan satu jihad semasa pada hari ini," jelasnya.

Ujarnya, keputusan itu sekali gus memberi implikasi besar termasuk menjadi kes rujukan di mahkamah pada masa depan yang menggugat keabsahan undang-undang Syariah.

"Ia akan membuka ruang untuk lebih banyak pihak tampil mempertikaikan keabsahan undang-undang Syariah yang digubal di peringkat negeri.

"Ia juga membuka ruang untuk golongan yang melakukan amalan bercanggah dengan Islam berpesta kerana merasakan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.astroawani.com/news/show/isu-transgender-keputusan-mahkamah-cabar-undang-undang-islam-dupp-48047?cp
© Astro Awani