facebookinstagramblog RSS

      img1               img2                 img3                   img4  
Soalan Lazim  Hubungi Kami  Aduan & Maklumbalas  Peta Laman

Apabila Kuasa Mahkamah Syariah Mudah Dicabar

11 November 2014 : Apabila Kuasa Mahkamah Syariah Mudah Dicabar

KUALA LUMPUR: Kekecohan berita mengenai tiga lelaki transgender yang mencabar hukuman yang telah dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah Syariah Negeri Sembilan baru-baru ini membuka mata ramai pihak.

Selain mendapat liputan di saluran berita televisyen dan akhbar harian, ia juga hebat diperkatakan di media sosial sekali gus mencetuskan persoalan yang lebih besar.

Sementara sebahagian masyarakat yang menyebelahi kumpulan mak andam itu ‘meraikan’ kemenangan atas keterbukaan mahkamah terhadap hak kumpulan minoriti, sebahagian besar yang lain pula kini mengerut dahi.

Bagai ada yang tidak kena, persoalan dalam fikiran mereka itu secara tidak langsung membongkar semula banyak kes lain yang disifatkan meragui fungsi dan kedudukan undang-undang syariah di negara ini.

Kita ketepikan sebentar isu transgender tersebut. Perkara pokok sekarang ini adalah tentang masyarakat umum yang mula mengimbas kembali beberapa kes lain yang pernah dibicarakan Mahkamah Syariah.

Antara yang masih segar dalam ingatan adalah mengenai kes-kes ibu bapa yang berebut hak penjagaan anak, soal pembahagian harta, isu murtad hinggalah kepada kontroversi penentuan agama bagi seseorang yang telah meninggal dunia.

Semua kes tersebut menjurus kepada satu kesimpulan awal iaitu betapa mudahnya kuasa Mahkamah Syariah dicabar dan kebimbangan mengenai terpinggirnya acuan syariah dalam jalur utama sistem perundangan serta kehakiman di negara ini.

Bidang kuasa yang masih kecil

Perkara tersebut diakui oleh Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, dalam isu melibatkan transgender tersebut, ia menunjukkan kepada umum dengan jelas bahawa keputusan Mahkamah Syariah negeri secara ‘automatik’ boleh menjadi tidak sah apabila didapati bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang syariah atau bidang kuasa agama Islam diletakkan di bawah kuasa Sultan atau negeri. Sempadan kuasanya tidak luas memandangkan ia masih tertakluk di bawah rangkuman undang-undang yang lebih tinggi iaitu mengikut Perlembagaan Persekutuan,” ujar Mohd Naim.

Jelas beliau, Mahkamah Syariah di negara ini sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan.

“Pada tahun 1988, suatu pindaan telah dibuat terhadap Perkara 121 untuk mengelakkan berlakunya pertindihan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dan bagi memastikan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan dalam urusan Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, taraf kedua-duanya tetap sama,” ujar Mohd Naim.

Beliau turut menyebutkan beberapa faktor keterbatasan kuasa Mahkamah Syariah di negara ini. Selain sekadar boleh membicarakan kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam, pelaksanaan undang-undang syariah juga dibatasi oleh Perlembagaan dan akta-akta tertentu.

“Ada beberapa kes, Mahkamah Syariah tidak mempunyai kata putus untuk menjatuhkan hukuman jika didapati tidak selari dengan perkara-perkara yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam,” kata Mohd Naim.

Antara kelemahan lain yang ketara, menurut Mohd Naim, adalah hal-hal seperti ketidakseragaman undang-undang antara negeri dan kekurangan hakim Mahkamah Syariah hingga sesetengah kes itu tertangguh lama.

“Hakikatnya kini adalah, atas kelemahan-kelemahan itu, Mahkamah Syariah belum mencapai tahap ia mempunyai kuasa. Walaupun pernah berlaku beberapa pindaan kecil, kematangannya masih jauh.

"Kita perlu bertanya, adakah perubahan dasar seterusnya boleh dibuat dan adakah Parlimen sedia memberi kuasa yang lebih tinggi kepada Mahkamah Syariah?” tanya Mohd Naim.


Memahami jurisdiksi dan isu kes

Keterbatasan bidang kuasa Mahkamah Syariah turut diulas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia, Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Menurut beliau, tanggapan umum tentang fungsi Mahkamah Syariah sering berkisar pada isu perkahwinan dan cerai. Kredibiliti penghakimannya juga pada dasarnya ‘belum menyerlah’ dalam menangani isu yang melibatkan kes kesalahan syarak apatah lagi jenayah pada tahap tertentu.

“Mahkamah Syariah buat masa ini tidak diberi kuasa untuk membincangkan isu-isu fundamental, kerana semua itu tentunya akan dikendalikan Mahkamah Sivil.

“Begitupun, pindaan berperingkat yang pernah dilakukan adalah bertujuan memberi jurisdiksi yang lebih jelas antara syariah dan sivil supaya kedua-duanya tidak saling campur tangan,” ujar Mohamed Azam.

Beliau menambah, sekiranya kedua-dua mahkamah tersebut memahami jurisdiksi masing-masing, tidaklah timbul isu penghakiman sivil yang mengatasi ketetapan mahkamah syariah.

Dalam isu transgender yang kecoh diperkatakan minggu lalu, Mohamed Azam berpendapat, seseorang hakim perlu kembali kepada dasar sesebuah penilaian dalam membuat keputusan iaitu mengambil kira setiap sesuatu dengan memandang hal-hal tersurat dan tersirat.

Ujar Mohamed Azam; “Pada satu bahagian, hakim Mahkamah Rayuan itu melihat pada alasan laporan perubatan sahaja ketika membuat keputusan. Tetapi adakah hakim itu menilai dari perspektif yang lebih besar tentang perlakuan, kesalahan dan kesannya pada pelaku serta masyarakat umum?”.

Hukuman hanyalah jalan akhir

Dalam hal yang melibatkan lelaki berpakaian wanita baru-baru ini, Mohamed Azam berpendapat ketua hakim Mahkamah Rayuan tersebut membuat keputusan apabila hujah pembelaan disertai laporan doktor mengenai kecelaruan identiti gender (GID).

“Sedangkan keputusan di Mahkamah Syariah itu sudah jelas. Bidang kuasa yang diberi kepada negeri boleh menegakkan undang-undang tertentu termasuk hukuman kepada orang Islam yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam,” ujar Mohamed Azam.

Beliau bimbang dengan perkembangan perkara tersebut, pada masa akan datang ada pihak yang tampil dengan pelbagai jenis laporan perubatan yang bertujuan menyebelahi kepentingan mereka semata-mata.

“Tidakkah kita terfikir jika suatu hari nanti, ada pihak yang akan menunjukkan sokongan dokumen dari doktor mengatakan mereka dilahirkan dengan masalah kecelaruan identiti hingga menjadikan mereka lesbian atau gay.

“Kita khuatir ini bakal terjadi. Golongan ini meminta mahkamah mengiktiraf pula kewujudan mereka,” kata Mohamed Azam.

Bagaimanapun, menurut Mohamed Azam, menjatuhkan hukuman sebenarnya adalah jalan terakhir untuk diambil. Sebaliknya, beliau lebih percaya pada usaha pemulihan dan bimbingan yang banyak dijalankan pihak-pihak berkaitan.

“Saya akui ada yang berjaya dan ada yang tidak. Namun, ia perlu terus dilakukan,” ujar beliau.


Memperbaiki imej dan fungsi

Bercakap tentang masalah ketidakseragaman pelaksanaan undang-undang syariah di negara ini, Mohamed Azam berkata, hak mutlak yang diberikan kepada negeri dalam melaksanakan undang-undang tersebut selama ini sedikit sebanyak menyebabkan perbezaan.

“Contoh yang jelas hari ini adalah berkenaan hukuman denda atau tempoh penjara bagi orang Islam yang minum arak. Hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Syariah di Kelantan dan Pahang tidak sama dengan hukuman di Selangor,” ujar beliau.

Beliau turut mengimbas tentang pertikaian antara negeri mengenai isu latihan kepimpinan ESQ, yang suatu ketika dahulu pernah membuatkan pihak penentu fatwa dan pihak berkuasa undang-undang tidak sepakat dalam membuat keputusan.

Walaupun begitu, usaha penyelarasan undang-undang syariah terus dijalankan mengikut peringkat dan ia mendapat perkenan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Objektif umum persidangan itu adalah untuk mendapatkan pandangan negeri-negeri ke arah memperkemas dan memantapkan undang-undang Islam di Malaysia selain mencapai kata sepakat ke arah penyeragaman undang-undang di samping mengeratkan hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri-negeri dalam hal ehwal perundangan Islam.

Mohamed Azam memberitahu, kerajaan juga sedang giat menggerakkan perancangan menaikkan taraf hierarki , fasiliti dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Sekarang ini, rangka penghakiman mahkamah syariah sudah mempunyai tiga peringkat dan ia akan ditambah sehingga menjadi lima peringkat hierarki.

Lima peringkat itu ialah Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis Rayuan Syariah.

Selain penambahan bilangan pegawai dan hakim, semua itu bakal disertai usaha pemantapan perkhidmatan dan juga peningkatan kuasa hukuman bagi menangani perbicaraan pelbagai jenis jenayah.

Usaha meneliti semula had hukuman Mahkamah Syariah negara ini terutama Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah perlu memandangkan ia masih rendah berbanding Mahkamah Sivil.

Turut menunggu pembaikan adalah aspek perjawatan dan emolumen hakim-hakim Mahkamah Syariah supaya setaraf dengan Mahkamah Sivil. Sejurus semua ini membuahkan hasil, Mahkamah Syariah akan memasuki suatu lembaran baru di dalam sejarah penubuhannya.

Pembikinan imej dan fungsi Mahkamah Syariah yang lebih baik pada masa akan datang tentunya akan melibatkan komitmen berterusan pihak jabatan kemajuan agama, kerajaan-kerajaan negeri, kementerian dan juga pemerintah tertinggi negeri.


Artikel Penuh: http://www.astroawani.com/news/show/apabila-kuasa-mahkamah-syariah-mudah-dicabar-48111?cp
© Astro Awani