facebookinstagramblog RSS

      img1               img2                 img3                   img4  
Soalan Lazim  Hubungi Kami  Aduan & Maklumbalas  Peta Laman

KPN Dapat Penangguhan Sementara

25 September 2014 : KPN Dapat Penangguhan Sementara

PUTRAJAYA 25 Sept. - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berjaya menangguhkan sementara perintah mandamus yang memaksanya menangkap mualaf, Mohd. Ridzuan Abdullah dan mencari anaknya yang berusia enam tahun untuk diserahkan kepada ibunya yang beragama Hindu.

Perkara itu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan guru tadika, M. Indira Gandhi untuk mengetepikan perintah penangguhan sementara yang diperoleh oleh pegawai tertinggi pasukan polis itu.

Khalid memperoleh perintah penangguhan sebelah pihak daripada Mahkamah Rayuan pada 17 September lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menetapkan 30 Oktober ini bagi mendengar rayuan Khalid.

Hakim Raus berpuas hati agar tarikh rayuan awal ditetapkan kerana persoalan yang dibangkitkan adalah penting dan melibatkan isu baru yang yang menyentuh kepentingan awam.

Khalid merayu keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak yang membenarkan permohonan Indira Gandhi mendapatkan perintah mandamus (untuk memaksa kerajaan mematuhi perintah mahkamah) agar beliau menangkap mualaf itu dan memulangkan anak perempuan bongsu mereka, Prasana Diksa.

Pada 12 September lalu, Hakim Lee Swee Seng berkata, arahan itu perlu dilaksanakan dalam tempoh seminggu dan berharap Indira Gandhi akan bertemu kembali dengan anaknya pada 16 September lalu.

Pada 2009, Mohd. Ridzuan dilaporkan mengambil Prasana Diksa dan menukar agama kanak-kanak itu serta adik beradiknya yang lain, Tevi Darsiny,12 dan Karan Dinish,11, kepada Islam tanpa pengetahuan ibu mereka.

Mohd. Ridzuan sebelum ini memperoleh hak penjagaan kanak-kanak itu dari Mahkamah Tinggi Syariah.

Mahkamah Tinggi selepas itu menyerahkan hak penjagaan kepada Indira Gandhi pada Mac 2010 dan mengarahkan Mohd. Ridzuan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Indira Gandhi agar polis menguatkuasakan Perintah Mendapatkan Kembali (recovery order) kanak-kanak selepas bekas suaminya enggan memulangkan anak mereka yang diambil daripada jagaan wanita itu sejak 2009.

Indira Gandhi kemudian memfailkan permohonan sebelah pihak bagi mendapat perintah mandamus selepas Khalid enggan mencari Mohd. Ridzuan dan gagal memulangkan kanak-kanak itu walaupun perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140926/ma_05/KPN-dapat-penangguhan-sementara#ixzz3Er9J8Ock
© Utusan Melayu (M) Bhd