img1               img2                 img3                   img4  
Soalan Lazim  Hubungi Kami  Aduan & Maklumbalas  Peta Laman

Nasihat minimum belanja dipatuhi


Nasihat minimum belanja
dipatuhi



IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menzahirkan penghargaan kepada petugas media yang memberikan liputan pada Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35 yang lalu.

Menurut Baginda, peranan media penting dalam mendidik dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap tugas raja dalam sistem berkerajaan berlandaskan konsep raja berperlembagaan serta demokrasi berparlimen.

“Beta amat menghargai peranan pelbagai agensi dan petugas media yang telah memberikan liputan meluas kepada seluruh acara.  

“Media telah melaksanakan peranan amat penting menguar-uarkan acara-acara dianjurkan dalam semangat untuk mendidik dan meningkatkan kefahaman dan apresiasi masyarakat umum terhadap peranan dan relevansi institusi Raja,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Penghargaan Kepada Ahli-ahli Jawatankuasa dan Para Petugas Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35, di sini, semalam.

Sultan Nazrin bertitah, penyertaan golongan pelajar dan belia secara aktif dengan acara-acara berbentuk intelek, keilmuan serta membina elemen-elemen kenegaraan ketika istiadat pertabalan itu amat menggalakkan dan sewajarnya terus dihidupkan dan berkesinambungan.
 
Menurut baginda, jalinan kerjasama yang tinggi antara pelbagai jabatan, agensi, pihak swasta dan individu ketika istiadat berkenaan telah berjaya menghasilkan yang terbaik.  

“Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan pelbagai badan beruniform telah bertugas dengan berkesan membolehkan acara berjalan secara tertib, teratur dan terkawal.

“Semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah terus dipupuk dan dihidupkan sepanjang masa. Semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah diterapkan sebagai budaya kerja untuk memajukan negeri Perak,” titah Baginda.

Ketika bertitah memberi penghargaan kepada individu yang disifatkan sebagai ‘petugas tidak bernama’, baginda sedikit sebak mengenangkan peranan mereka menjayakan acara-acara sempena istiadat pertabalan.

Pada masa sama, Sultan Nazrin turut menzahirkan rasa gembira apabila nasihatnya supaya meminimumkan perbelanjaan dipatuhi.  

Menurut baginda, acara sambutan telah diaturkan bukan berbentuk pesta tetapi untuk mengisi makna dan pengertian terhadap peranan institusi Raja dalam sistem bernegara dan berkerajaan.

“Budaya mengutamakan outcome hendaklah diutamakan daripada output, demi memastikan dalam acara-acara yang dianjurkan oleh negeri.

“Hasil dapat dioptimumkan sementara perbelanjaan dapat diminimumkan, sekali gus mengelakkan pembaziran,” titahnya.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut mengumumkan bahawa Balai Gambang yang dikenali sebagai Cempaka Sari yang digunakan ketika memenuhi perjalanan dari Pasir Salak ke Teluk Intan akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk tujuan pelancongan.

Pada majlis itu juga, baginda berkenaan menyampaikan pingat dan sijil penghargaan kepada agensi kerajaan, badan beruniform, wakil media dan agensi swasta yang terlibat secara langsung ketika istiadat pertabalan, Mei lalu.