facebookinstagramblog RSS

      img1               img2                 img3                   img4  
Soalan Lazim  Hubungi Kami  Aduan & Maklumbalas  Peta Laman

28 FEBRUARI 2015 : Institusi Kehakiman Diminta Selaras Bidang Kuasa Mahkamah Syariah, Sivil

28 FEBRUARI 2015 : Institusi Kehakiman Diminta Selaras Bidang Kuasa Mahkamah Syariah, Sivil

GEORGETOWN: Institusi kehakiman di negara ini diminta menyelaraskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil bagi mengelak pertikaian perkahwinan membabitkan pasangan bukan Islam.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata ia bagi mengelak konflik berpanjangan terutama melibatkan urusan perceraian dan hak penjagaan anak antara pasangan Islam dan bukan Islam.

"Terdapat kes yang menyaksikan keputusan Mahkamah Syariah dirujuk semula di Mahkamah Sivil yang akhirnya membuat keputusan berbeza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Literasi Undang-Undang 'Wanita: Di Sebalik Tirai Perkahwinan' di sini hari ini.

Beliau berkata titik persamaan perlu dicari supaya pertikaian keputusan membabitkan mahkamah dapat diatasi secara saksama memandangkan perkara sedemikian memberi kesan terhadap pelbagai pihak khususnya kepada wanita dan anak-anak.

"Telah tiba masanya kedua-dua belah pihak (Mahkamah Syariah dan Sivil) duduk berbincang dan mengambil tindakan jelas yang selaras supaya permasalahan itu tidak berlarutan," katanya.

Jahara, yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, turut mencadangkan supaya sistem pendaftaran perceraian dan perkahwinan pada peringkat jabatan agama di negara ini juga perlu diselaraskan secara berpusat bagi memudahkan urusan berkaitan.

"Sistem sekarang ini berbeza mengikut negeri. Para suami boleh jadi bujang jika ke negeri lain kerana data mereka tiada di situ. Jadi, lebih baik sekiranya pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dapat mewujudkan sistem atas talian berpusat yang boleh diakses di mana-mana sahaja," katanya.

Beliau berkata sebanyak 320 kes keganasan rumah tangga direkod di Pulau Pinang tahun lepas iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 79 kes daripada 241 kes pada 2013.

Katanya kebanyakan kes berpunca daripada perselisihan faham, masalah kewangan dan anak, justeru pihaknya akan memperbanyak program pendidikan kekeluargaan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai hak serta peranan mereka dalam rumah tangga. - BERNAMA



.