img1               img2                 img3                   img4  
Soalan Lazim  Hubungi Kami  Aduan & Maklumbalas  Peta Laman

30 Okt 2018: Boleh seragam undang-undang Syariah - Mufti Negeri Sembilan (BH)

 

SEREMBAN: Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, menyambut baik usaha Kerajaan Pusat untuk menyeragam dan menyelaras undang-undang syariah di seluruh negara.

 

Beliau bagaimanapun menegaskan, sebarang cadangan pindaan terhadap hukuman sedia ada ke arah penyeragaman berkenaan perlu dibuat berlandaskan hukum syarak dan bukan logik akal manusia semata-mata.

 

 

“Secara dasarnya, kita tiada masalah dengan usaha menyelaras dan menyeragamkan undang-undang syariah untuk memastikan bentuk hukuman sesuai dengan suasana semasa.

 

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu bertindak sebagai penyelaras untuk usaha penyeragaman ini dan mufti setiap negeri dipanggil bermesyuarat bagi membincangkan mengenai pindaan yang hendak dibuat.

 

“Selepas itu, keputusan sama ada pindaan itu akan diguna pakai atau tidak bergantung kepada perkenan Raja, Sultan atau Yang di-Pertuan Besar sesebuah negeri,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

 

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, bahawa kerajaan sedang berusaha menyeragam dan menyelaras undang-undang Syariah di seluruh negara, semalam.

 

Sementara itu, mengenai kajian supaya kaedah hukuman lebih bersifat memulih di samping menghukum termasuk membabitkan perintah khidmat masyarakat, Mohd Yusof berkata, perkara itu bergantung kepada jenis kesalahan.

 

“Kaedah hukuman bagi tujuh kesalahan dalam Islam termasuk zina, tuduhan zina dan minum arak, tidak boleh diubah kerana sudah ditetapkan dalam al-Quran serta hadis.

 

“Jika penambahan hukuman seperti perintah khidmat masyarakat mahu dibuat terhadap kesalahan lain, kita tiada masalah menerimanya jika difikirkan baik,” katanya

Rujukan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/10/492309/boleh-seragam-undang-undang-syariah-mufti-negeri-sembilan