5 Dis 2018: Perak lulus penubuhan Mahkamah Utama Syariah (SINAR HARIAN)
Pengarang: SAIFULLAH AHMAD & MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
IPOH - Perak mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama menubuhkan Mahkamah Utama Syariah sekali gus mempunyai empat lapisan mahkamah dalam sistem kehakiman syariah.
Sistem berkenaan sebelum ini hanya mempunyai tiga komponen iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.
Asmuni (Amanah-Manjoi) berkata, penubuhan mahkamah itu bertujuan memperkasa struktur, urusan pentadbiran dan kredibiliti institusi kehakiman syariah di Perak.
“Pada ketika ini Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 hanya memperuntukkan tiga lapisan Mahkamah di dalam sistem kehakiman syariah di negeri ini iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.
“Oleh itu, adalah dicadangkan pindaan dibuat kepada seksyen 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dengan memperuntukkan penubuhan satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan Syariah yang dikenali sebagai Mahkamah Utama Syariah,” katanya ketika membentangkan usul tersebut, hari ini.
Selepas usul dibentangkan, beberapa Adun kerajaan dan pembangkang mengambil tempat untuk berbahas antaranya Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang); Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan); Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (BN-Tualang Sekah) dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor).
Enakmen tersebut kemudian diluluskan Dun tanpa bantahan selain Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018.
Enakmen tersebut dibentangkan bertujuan untuk mengadakan peruntukan khusus berkenaan dengan penyusunan Mahkamah Syariah, bidang kuasanya, perjalanan kuasanya serta lapisan baharu peringkat rayuan Mahkamah Syariah.
Asmuni berkata, ia diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan fungsi kehakiman Syariah dapat dilaksanakan secara efisien dan berkesan seterusnya merealisasikan usaha memartabatkan kedudukannya sebagai institusi kehakiman berwibawa dalam negeri ini.