facebookinstagramblog RSS

      img1               img2                 img3                   img4  
Soalan Lazim  Hubungi Kami  Aduan & Maklumbalas  Peta Laman

18032015| Kanun Jenayah Syariah II 1993 Terpakai Pada Orang Islam Saja


18032015| Kanun Jenayah Syariah II 1993 Terpakai Pada Orang Islam Saja


KOTA BHARU: Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang lebih dikenali sebagai hudud, dibentangkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata ia hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja apabila dikuatkuasakan kelak.

Beliau berkata, perkara itu merupakan antara empat pindaan yang dibuat dalam rang undang-undang itu iaitu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.

"Berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka," katanya.

Ahmad berkata, rang undang-undang itu turut meminda Seksyen 15(2) Kanun Jenayah Syariah (II) dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.

Beliau berkata, pindaan turut membabitkan Seksyen 46 iaitu membuang peruntukan 46(2) mengenai qarinah atau sebab zina bagi perempuan hamil tanpa suami.

Ahmad berkata, pindaan keempat adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum wujud.

Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan undang-undang sedia ada, katanya.

Ahmad berkata, kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi tujuh kesalahan iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf, syurb (minum arak) dan irtidad (murtad).

Speaker DUN Datuk Abdullah Ya'kub memperuntukkan dua hari termasuk hari ini bagi rang undang-undang berkenaan dibahaskan.

PAS mempunyai 31 kerusi dalam DUN Kelantan, Barisan Nasional 12 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1 kerusi.

Sementara kerusi DUN Chempaka yang dimiliki PAS menjadi kosong selepas penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 12 Feb lepas, dan pilihan raya kecil untuk kerusi itu akan diadakan Ahad ini.

Kanun Jenayah Syariah II, yang juga dikenali sebagai hudud yang diluluskan pada 1993 tertangguh lebih 20 tahun dari segi pelaksanaan akibat kekangan perundangan.

Rang Undang-Undang itu yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda Kelantan. - BERNAMA